Mar 26

Takaful sebagai alat dalam memelihara Maqasid Syariah

Takaful merupakan salah satu daripada instrumen kewangan islam yang membayar manfaat kewangan apabila berlakunya sesuatu perkara sepertimana termaktub di dalam kontrak takaful. Di Malaysia perniagaan takaful terbahagi kepada dua jenis iaitu perniagaan takaful keluarga dan perniagaan takaful am. Umumnya takaful keluarga memberikan perlindungan akibat berlaku kematian atau keilatan kekal dan menyeluruh kepada peserta sementara takaful am memberikan perlindungan kepada asset seperti rumah kenderaan dan lain-lain lagi. Takaful am juga memberikan perlindungan akibat kematian yang berpunca daripada kemalangan diri.

Dari aspek agama, perlindungan takaful boleh dilihat sebagai salah satu alat untuk memelihara Maqasid Syariah. Secara literalnya Maqasid Syariah boleh diterjemahkan sebagai tujuan atau maksud syariah yang mana tujuan pensyariatan sesuatu perkara itu menghasilkan kebaikan (maslahah) dan mencegah daripada berlakunya kemudaratan. Imam al-Ghazali telah menggariskan lima maqasid iaitu:

  1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)
  2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)
  3. Pemeliharaan akal (hifz al-aql)
  4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasb)
  5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)

Dalam konteks takaful, Maqasid Syariah ini boleh dilihat melalui hal-hal di bawah:

1. Pemeliharaan agama (hifz al-din)

Tanpa adanya sistem kewangan islam seperti yang wujud pada hari ini kita akan kekal bergantung kepada sistem kewangan konvensional yang jelas elemen-elemen yang ada padanya bertentangan dengan syariat islam umpamanya terlibat dengan gharar riba’ dan maysir dan perkara-perkara batil yang mengakibatkan kezaliman dan ketidakadilan dalam masyarakat. Islam sebagai agama yang syumul semestinya diangkat dalam apa jua bentuk termasuklah dalam bidang ekonomi dan sistem kewangan. Tanpa system yang berteraskan islam sukar bagi kita untuk memelihara agama dari aspek ini dan negara-negara islam masih terjajah dengan idealogi yang bertentangan dengan nilai-nilai islam.

2. Pemeliharaan jiwa (hifz al-nafs)

Takaful boleh dilihat sebagai penting melalui aspek kesihatan dan keselamatan. Takaful tidak mampu menghalang qada’ dan qadar Allah SWT dan tidak mampu menyekat kematian seseorang tetapi takaful mampu membantu dari sudut mendapatkan rawatan dan penjagaan terbaik ketika hayat seseorang masih ada dan lebih penting manfaat takaful memberikan sinar dalam kehidupan orang lain iaitu peserta-peserta lain yang memerlukan bantuan dalam keadaan kita tidak memerlukan (sihat).

3. Pemeliharaan akal (hifz al-a’ql)

Pemergian seseorang yang penting terutama ketua keluarga pastinya memberikan kesan yang amat besar dan mendalam sama ada dari segi kasih saying bahkan dari segi ekonomi keluarga. Keadaan susah dan tertekan mungkin dialami oleh ahli keluarga yang ditinggalkan dan adalah tidak mustahil akibat kesusahan anak-anak boleh terjebak dalam aktiviti tidak sihat umpamanya gejala sosial dan pengambilan dadah. Walaupun takaful tidak mampu mengawal hal sedemikian tetapi manfaat yang diberikan dalam bentuk wang ringgit mampu membantu keluarga berkenaan.

Memberikan pendidikan terbaik juga merupakan satu cabaran terutama dalam keadaan ekonomi semasa. Anak-anak perlu mendapat pendidikan sehingga peringkat tertinggi agar mempunyai ilmu pengetahuan, emosi yang baik dan akal yang cerdas bagi meneruskan kelangsungan hidup di masa depan. Dengan produk takaful pendidikan, ibu bapa mampu merancang pembelajaran anak dan sekiranya ketua keluarga telah meninggal dunia terlebih awal pembiayaan pendidikan anak-anak telah terjamin melalui takaful.

4. Pemeliharaan keturunan (hifz al-nasb)

Lanjutan dari perkara di atas kehidupan yang susah mampu menjurus seseorang itu ke dalam masalah gejala social dan sehingga ada yang terpaksa menampung hidup dengan pekerjaan tidak bermoral seperti melacur dan sebagainya. Dengan manfaat takaful, keluarga yang ditinggalkan dapat dibantu dari aspek kewangan dengan harapan mereka mampu meneruskan kehidupan dengan baik tanpa terjerumus dalam keadaan seperti dinyatakan.

Dari sepotong hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amir bin Sa’ad, dari ayahnya, Sa’ad nabi SAW berkata:

..”Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu kaya, itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin sehingga mereka terpaksa meminta-minta kepada sesama manusia”…

5. Pemeliharaan harta (hifz al-mal)

Selain daripada memberikan manfaat kepada ahli waris saat berlaku kematian, takaful juga bertindak sebagai instrumen bagi tujuan pemeliharaan harta. Takaful tidak mampu menghalang kehilangan dan kerosakan harta benda tetapi takaful mampu mengganti dan mengurangkan kerugian yang di alami misalnya rumah kediaman yang terbakar, barangan yang rosak akibat bencana alam dan sebagainya. Contoh lain, takaful akan membayar kepada pihak bank sekiranya pelanggan mereka yang mendapatkan pembiayaan seperti rumah, kenderaan dan peribadi meninggal dunia dan tidak sempat melunaskan baki hutang mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.