Feb 12

Hak harta – Untuk orang bukan Islam

Soalan,
Saya mempunyai dua orang anak daripada perkahwinan dahulu yang tinggal bersama bekas isteri saya dan mereka bukan penganut agama Islam. Namun hubungan kami masih baik. Saya masih mengambil berat tentang kebajikan anak-anak dan memberi nafkah kepada mereka kerana tanggungjawab. Saya kini telah berkahwin dengan seorang wanita muslim. Masalah timbul apabila saya berbincang dengan isteri saya sekarang untuk meninggalkan harta pusaka kepada anak-anak saya. Isteri tidak bersetuju dan menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak berhak ke atas harta orang Islam. Malah dia juga mengungkit tentang nafkah bulanan yang saya beri kepada anak-anak saya. Adakah betul anak-anak saya tidak berhak ke atas harta pusaka saya? Apa yang boleh saya lakukan supaya saya dapat melindungi masa depan mereka? Bukankah sebagai bapa saya berkewajipan terhadap kebajikan anak-anak saya?

Ahmad Shah

Klang

Jawapan,

Isu pembahagian harta pusaka seringkali menjadi perbahasan di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi jika waris yang terbabit ialah orang bukan Islam. Persoalan ini timbul kerana di Malaysia terdapat penganut agama Islam yang masih mempunyai ahli keluarga yang menganut agama lain. Kebanyakan daripada mualaf ini masih berhubung baik dengan ahli keluarga mereka dan atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab terhadap keluarga, mereka ingin memberi sebahagian harta pusaka kepada anak-anak atau ibu bapa.

Pembahagian harta pusaka dalam Islam adalah berdasarkan kepada surah al-Nisaa’ ayat 7, 11, 12 dan 176 yang memberi garis panduan tentang waris-waris yang berhak dan juga kadar pembahagian harta.

Dalam ayat 7, Allah berfirman, “Orang-orang lelaki ada bahagian pesaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pesaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

Ayat 11, “(pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh simati, dan sesudah dibayarkan hutangnya” dan 12, “sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya” telah dinyatakan bahawa pembahagian harta ini hendaklah dilakukan selepas wasiat dan hutang si mati telah diselesaikan. Ini menunjukkan bahawa tanggungjawab si mati yang belum selesai hendaklah disempurnakan terlebih dahulu agar tidak membebankan waris-waris kelak.

Pemberian

Wasiat mengikut hukum syarak seperti yang ditakrifkan dalam kitab Mughnil Muhtaj oleh Muhammad al-Khatib al-Syarbini ialah “pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberinya sudah mati.”

Kitab ini seterusnya menerangkan tentang rukun wasiat iaitu pertama, orang yang berwasiat, kedua, orang yang diwasiatkan, ketiga, barang yang diwasiatkan dan keempat, ijab dan qabul.

Yang penting di sini ialah harta atau barang yang diwasiatkan itu diberikan kepada penerima wasiat setelah orang yang berwasiat itu meninggal.

Walaupun sudah jelas bahawa seorang Islam boleh meninggalkan wasiat, namun persoalan masih timbul tentang berapa banyakkah daripada harta itu boleh diwasiatkan dan kepada siapa wasiat boleh diberikan.

Dalam ayat 11 yang menyebut, “sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati” dan ayat 12, “sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan” tidak menyatakan berapa banyakkah jumlah yang boleh diwasiatkan daripada harta pusaka si mati dan juga tidak menghadkan jumlah harta yang boleh diwasiatkan. Namun ulama’ Sunni berpendapat bahawa harta wasiat yang hanya boleh diberikan adalah satu pertiga daripada harta peninggalan si mati.

Pendapat ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w (diriwayatkan oleh Sunan Abu Dawud dan kebanyakan kumpulan hadith yang lain) di mana seorang sahabat Baginda ingin mewasiatkan seluruh harta bagi tujuan khairat kebajikan am. Ini akan menyebabkan warisnya (seorang anak perempuan) dibiarkan tanpa harta. Jadi demi menjaga kepentingan warisnya, Rasulullah s.a.w memerintahkan tidak lebih daripada satu pertiga boleh diwasiatkan untuk tujuan khairat tersebut.

Ulama’ Sunni juga bersependapat bahawa orang Islam boleh meninggalkan wasiat kepada orang bukan Islam. Pendapat ini adalah berdasarkan kepada surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud, “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Kenyataan bahawa orang bukan Islam tidak berhak ke atas harta orang Islam adalah tidak berasas sama sekali. Lebih-lebih lagi jika mereka itu adalah daripada darah daging sendiri. Islam mengajar umatnya untuk bertanggungjawab dan menjaga kepentingan keluarga. Surah al-Nisaa’ ayat 233 menjelaskan bahawa, “dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil”

Oleh itu adalah wajar bagi saudara untuk meninggalkan sebahagian harta kepada anak-anak bagi menjaga kepentingan mereka. Perkara ini juga dapat memastikan bahawa kehidupan mereka tidak akan terbiar apabila saudara tiada kelak dan tidak membebankan waris-waris yang kini akan mengambil alih tanggungjawab saudara.

Sistem perundangan di Malaysia juga tidak menyekat seorang muslim daripada memberi wasiat kepada orang bukan Islam. Dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, seksyen 7 menyatakan syarat benefisiari adalah:

Seseorang benefisiari wasiat itu hendaklah seseorang yang –

(a) diketahui;

(b) mempunyai kelayakan untuk memiliki harta yang diwasiatkan; dan

(c) jika ditentukan, dia hendaklah wujud ketika wasiat dibuat dan jika tidak ditentukan, benefisiari tidak disyaratkan wujud sama ada ketika wasiat itu dibuat atau ketika pewasiat itu mati.

Tetapi Mahkamah Syariah amat menitikberatkan tentang bahagian yang boleh diwasiatkan itu. Ia tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta si mati.

Di Malaysia, wasiat ke atas hadiah yang melebihi satu pertiga adalah tidak sah walaupun waris yang lain bersetuju. Pembahagian wasiat hanya akan diberikan sebanyak satu pertiga sahaja dan jika waris lain ingin menyempurnakan juga wasiat ini, dia hendaklah melepaskan bahagiannya sendiri. Ini bermakna, waris yang bersetuju tadi akan menghibahkan harta yang diwarisinya kepada penerima wasiat, sekadar untuk memenuhi wasiat yang ditinggalkan oleh si mati.

Mungkin kekeliruan mengenai orang bukan Islam tidak dapat mewarisi daripada orang Islam ialah kerana waris bukan Islam tidak diberi secara automatik bahagian harta pusaka di bawah sistem faraid. Sistem faraid dan pemberian harta secara wasiat adalah dua perkara yang berasingan. Oleh kerana anak bukan Islam tidak diberi bahagian di bawah sistem faraid maka perlulah wasiat dibuat untuk memberikan mereka harta pusaka melalui wasiat.

Oleh itu saudara bolehlah mewasiatkan sebahagian dari harta saudara kepada anak-anak dan dengan berpandukan penerimaan undang-undang Malaysia, bahagian tersebut haruslah tidak lebih dari satu pertiga dari jumlah harta.

Selain dari meninggalkan harta secara wasiat kepada anak-anak, saudara juga boleh memindahkan harta saudara semasa masih hidup melalui hadiah, hibah atau wakaf.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm#ixzz5fImSySmu
© Utusan Melayu (M) Bhd

 

Sumber:

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0513&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm

Leave a Reply

Your email address will not be published.