Feb 02

Hibah takaful. Apa dia?

Sekarang ini kita selalu mendengar tentang hibah takaful. Ada ramai ejen takaful dari beberapa buah syarikat yang berbeza sangat aktif memperomosikan konsep hibah takaful ini. Saya melihat usaha ini sangat baik dan dapat membuka mata masyarakat tentang betapa pentingnya memiliki perlindungan takaful dan bagaimana melindungi keperluan dan kepentingan ahli waris yang ditinggalkan.

Namun begitu, saya juga perhatikan wujud salah faham dikalangan masyarakat tentang hibah takaful ini. Sama ada menerima maklumat yang tidak tepat daripada ejen takaful atau sebagainya tidak dapat saya pastikan. Cuma saya nak maklumkan di sini walaupun hibah takaful ini tidak diwar-warkan oleh syarikat yang lain ianya tetap dapat dilakukan kerana setiap syarikat takaful wajib memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk melakukan penamaan ke atas sijil takaful mereka sama ada penamaan sebagai pentadbir (wasi) atau sebagai penerima (beneficiary)

Jadi hibah takaful sebenarnya merujuk kepada proses penamaan yang termaktub di dalam jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA). Sekiranya anda memilih untuk menamakan seseorang sebagai pentadbir (wasi) maka manfaat takaful tadi akan tertakluk kepada hukum faraid dan individu berkenaan bertanggung jawab mengagihkan manfaat yang diterima kepada ahli keluarga si mati mengikut hukum faraid.

berbeza dengan penamaan sebagai penerima (beneficiary) individu berkenaan akan memiliki manfaat takaful berkenaan secara terus tanpa melalui proses faraid dan konsep syariah yang digunapakai adalah hibah bersyarat (conditional hibah). Ini lah sebenarnya yang dimanipulasi oleh ejen-ejen takaful yang memperkenalkan konsep hibah takaful.

IFSA 2013 membenarkan konsep hibah bersyarat ini dengan mengambil kira banyak keperluan dalam masyarakat dan juga untuk menyaingi apa yang ditawarkan oleh insuran konvensional. Sebelum IFSA 2013 semua manfaat takaful adalah tertakluk kepada faraid. Dengan adanya hibah bersyarat ini pemilik sijil boleh melakukan hibah terus kepada individu tertentu tanpa ada campurtangan pihak lain.

Walaupun begitu saya berpendapat para ejen takaful perlu menerangkan dengan jelas konsep penamaan ini kepada pelanggan dan tidak hanya menjual konsep hibah takaful kerana saya khuatiri dalam membantu peserta menguruskan harta mereka mungkin ada hak-hak individu lain yang menjadi tanggungan peserta tidak diambil kira. Sebaiknya berilah kefahaman yang jelas kepada peserta dan biarlah mereka memilih sama ada mahukan manfaat takaful mereka di faraid atau dihibahkan.

Nota: Saya juga ada ejen takaful dan dia pun tak berapa terangkan sangat penamaan ini. Jadi anda wajib bertanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.