Jan 30

Tabarru’ vs Iltizam bi al tabarru’ dalam model takaful

Pendasar kepada perlindungan takaful adalah konsep tabarru’. Setiap tuntutan manfaat yang dibayar oleh syarikat takaful datangnya dari dana tabarru’ atau juga dipanggil sebagai risk fund. Setiap syarikat takaful mempunyai dana tabarru’ tetapi terdapat perbezaan dalam amplikasinya. Sesetengah syarikat secara umum menggunapakai konsep setiap sumbangan yang dibayar kepada dana tabarru’ dikira sebagai sumbangan tabarru’. Walaupun begitu ada juga syarikat yang mengaplikasikan konsep iltizam bi al tabarru’.

Perbezaan ini berlaku akibat perbezaan kefahaman penasihat-penasihat syariah yang mempunyai pelbagai pandangan serta ijtihad masing-masing. Tulisan saya pada kali ini tidak bertujuan untuk membahaskan kedua-duanya kerana ia isu universal yang tidak berkesudahan dari dulu sehingga sekarang. Jadi adalah lebih baik kita menerima kedua-duanya kerana mungkin ia bermanfaat di saat berlaku kesulitan ketika kita sedang membangunkan sesuatu produk.

Bahasa mudah bagi tabarru’ adalah derma dan iltizam bi al tabarru’ pula bermaksud komitmen untuk menderma. Dari sudut operasinya pula secara mudah faham setiap sumbangan ke dalam dana tabarru’ jika menggunakan konsep tabarru’ ianya dari awal lagi sudah bertukar status kepada sumbangan derma dan peserta takaful sudah tidak mempunyai hak ke atas wang yang dimasukkan ke dalam dana tabarru’. Jadi terdapat isu apabila ingin dilakukan pembayaran lebihan dari dana tabarru’ kepada peserta kerana ianya bukan lagi milik peserta. Walaupun begitu pendapat saya ini tidak muktamad dan berbeza dari kefahaman orang lain dan juga resolusi yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.

Bagi konsep iltizam bi al tabarru’ ada pihak yang menyatakan ianya tidak penting dan sama sahaja. Saya berbeza pandangan dalam hal ini kerana konsep ini dari segi operasinya membawa maksud komitmen untuk melakukan tabarru’ iaitu tabarru’ masih belum berlaku lagi. Jadi wang yang dibayar oleh peserta ke dalam dana risiko masih lagi milik peserta.

Jadi bila berlakunya tabarru’?

Sumbangan peserta hanya dikira sebagai tabarru’ apabila berlakunya tuntutan/claim daripada peserta lain yang ditimpa musibah iaitu secara bersama kesemua peserta melakukan tabarru’ bagi membantu peserta yang ditimpa musibah. Dalam hal ini setiap peserta masih berhak ke atas wang yang disumbangkan dan tidak menjadi isu jika ingin dilakukan agihan lebihan (underwriting surplus sharing). Disebabkan wang itu adalah milik peserta mereka boleh bersetuju untuk berkongsi sebahagian lebihan kepada syarikat misalnya pada nisbah 50:50.

Itulah perkongsian ringkas saya hari ni. Ilmu dan pengalaman yang ada tak mampu saya nak curah dalam bentuk tulisan. Jika ada para pengkaji yang ingin mendapatkan maklumat lanjut bolehlah hubungi saya melalui ruangan komen.

Leave a Reply

Your email address will not be published.