Interim Coverage untuk Pelan Takaful

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Artikel terakhir saya adalah pada bulan Jun 2014. Hari ini hampir masuk Jun 2017 bermakna sudah 3 tahun saya tidak menulis apa-apa. Ini lah keadaannya bila nikmat masa semakin berkurang dek kerana saya leka dengan urusan-urusan lain dan tugas-tugas hakiki sehari-hari. kepada yang emel atau meninggalkan komen berkenaan tajuk kajian saya ucapkan terima kasih atas usaha anda menulis kepada saya. Saya pohon maaf kerana saya tidak mampu membalas semua emel dan permintaan anda. Ada beberapa sebab kenapa saya tidak membalas tapi saya nak maklumkan di sini saya sudi membantu jika soalan anda relevan dengan saya dan anda betul-betul mahu mengkaji bidang kepakaran saya – Takaful.

Sebagai permulaan pada artikel pertama dalam tahun 2017 ini saya ingin berkongsi satu isu di dalam industri takaful iaitu isu interim coverage. Isu Interim coverage akhir-akhir ini menjadi perhatian kepada industri dan kepada pakar penyelidik. Baru-baru ini soalan interim coverage telah diajukan kepada saya oleh seorang penyelidik dan seorang CEO sebuah syarikat retakaful antarabangsa yang beroperasi di Malaysia. Soalan yang saya terima adalah sama ada interim coverage boleh dilaksanakan dan bagaimana ia dilakukan dari sudut pandangan syariah.

Mengambil contoh perlindungan MRTT ada syarikat takaful yang memperkenalkan interim coverage kedalam pelan takaful MRTT. Relevannya interim coverage dalam MRTT akan membolehkan baki hutang rumah pelanggan dilindungi manfaat takaful sehingga tamat tempoh kontrak pembiayaan. Apa yang berlaku kini adalah perlindungan takaful akan bermula apabila syarikat takaful menerima permohonan takaful dan setelah melalui proses pengunderaitan risiko akan diterima dan perlindungan bermula sedangkan pembiayaan daripada pihak bank masih belum berlaku (Disbursement). Walaupun MRTT pada prinsipnya adalah untuk melindungi diri pelanggan tapi tujuan sebenar adalah untuk melindungi baki pembiayaan.

Memiliki pelan MRTT merupakan syarat yang dikenakan oleh pihak bank kepada pelanggan yang ingin mendapatkan pembiayaan perumahan. Dalam kes ini perlindungan takaful bermula lebih awal daripada tarikh disbursement. Ini menyebabkan tempoh perlindungan juga berakhir lebih awal daripada tempoh pembiayaan dan ia menjadikan baki hutang tidak dilindungi oleh takaful pada penghujung tempoh perlindungan. Ini bermaksud sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal kepada pelanggan manfaat tidak akan dibayar oleh syarikat takaful.

Melihat kepada keperluan menyelaraskan perlindungan dengan tempoh pembiayaan maka beberapa syarikat memperkenalkan konsep interim coverage yang bertujuan melindungi pelanggan dari tempoh permohonan takaful diluluskan sehingga tempoh disbursement oleh pihak bank. Perlindungan yang diberi adalah perlindungan asas sahaja iaitu kematian dan keilatan disebabkan oleh kemalangan. Interim coverage ini penting sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini (kematian & keilatan) pelanggan atau waris mempunyai pilihan sama ada meneruskan pembelian rumah tersebut (bergantung kepada pihak bank) atau membatalkan pembelian dari pihak bank dan peserta atau ahli waris akan mendapat manfaat takaful. Saya melihat perkara ini sebagai perkara yang baik dan ia boleh dilaksanakan dengan memenuhi beberapa syarat.

Dari sudut pandangan syariah demi menjaga kebajikan dan berlaku adil kepada peserta-peserta lain setiap yang dilindungi mesti disertakan dengan sumbangan takaful. Tiada istilah perlindungan percuma. Jadi interim coverage yang dicadangkan juga mesti mempunyai sumbangan walaupun bank masih belum disburst financing. Lazimnya kos perlindungan turut dimasukkan ke dalam pembiayaan. Memandangkan syarikat takaful masih belum menerima sumbangan takaful dari pihak bank mahu pun pelanggan maka syarikat takaful harus membayarkan sumbangan interim coverage dalam dua bentuk sama ada sebagai hibah daripada syarikat atau sebagai Qard (Hutang).

Bentuk yang menjadi pilihan adalah Qard kerana syarikat takaful hanya memberi pinjam wangnya sebagai sumbangan interim coverage dan kemudian mengambil semula (recover) daripada pihak bank ketika pihak bank melakukan disbursement. Sekiranya menggunakan hibah, syarikat bakal mengalami kerugian kerana kos yang dikeluarkan tidak dapat diambil semula.

Saya juga melihat keadaan ini mesti dinyatakan kepada pelanggan sebelum kontrak dimeterai kerana ia mengakibatkan pelanggan berhutang dengan syarikat (Sumbangan takaful). Wallahua’lam.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *