Dilema tuntutan manfaat takaful bagi waris penumpang MH370

Tragedi kehilangan kapal terbang MH370 telah memberikan dilema baru buat pengendali takaful di Malaysia. Sebahagiannya tidak merasa apa-apa tetapi sebahagiannya ia memberikan kesan langsung terhadap operasi dan aspek pematuhan syariah. Alhamdulillah saya berkesempatan menghadirkan diri dalam satu mesyuarat yang diadakan di sebuah syarikat takaful pada hari semalam dan hampir kesemua wakil dari syarikat takaful hadir pada mesyuarat berkenaan. Insya Allah tulisan saya pada kali ini akan memperincikan beberapa isu yang dihadapi oleh syarikat takaful. Apa yang saya kongsikan di sini lebih kepada pendapat peribadi dan tidak berkait dengan mana-mana syarikat takaful.

Dilema yang dihadapi kini membuktikan betapa berbezanya perjalanan perniagaan syarikat takaful dan insuran konvensional. Tatkala persatuan-persatuan berkaitan syarikat insuran bersungguh-sungguh memberikan komitmen tentang pembayaran pampasan kepada waris MH370, di sebelah pihak pengendali takaful nampaknya tiada sebarang respon. Hal ini kerana tiada persepakatan dalam isu ini kerana ia melibatkan isu syariah serta tiada arahan jelas dikeluarkan daripada pihak berwajib. Dalam hal ini beberapa perkara dan dilema dapat dilihat dengan jelas. Antaranya:

  1. Insurans konvensional boleh membayar tuntutan kerana pemilikan dana risiko adalah milik syarikat insuran dan tiada yang melarangnya daripada menggunakan dana tersebut. Sedangkan bagi pihak syarikat takaful, dana risiko adalah milik peserta secara kolektif dan pembayaran manfaat adalah terikat dengan perjanjian takaful. Dalam keadaan penumpang MH370 statusnya diputuskan sebagai mafkut atau orang hilang sepertimana diputuskan oleh majlis fatwa kebangsaan, maka pembayaran manfaat adalah bercanggah dengan peruntukan yang ada di dalam kontrak takaful yang lazimnya memberi perlindungan akibat kematian atau keilatan kekal. Sebarang pembayaran di luar daripada perjanjian menjadikan pengendali takaful sebagai pihak yang mungkir daripada perjanjian dan tidak berlaku adil kepada peserta-peserta lain yang mencarum di dalam dana risiko.
  2.  Melihat keadaan insuran konvensional mula membayar pampasan, mahu tidak mahu syarikat takaful terpaksa menurut juga kerana ia dilihat sebagai tidak selari dengan insuran dan ia melibatkan imej syarikat takaful sendiri. Selain itu ada di antara waris MH370 yang sudah terkesan apabila pihak bank menuntut bayaran balik pinjaman penumpang MH370. Sebagai contoh bagi pinjaman perumahan, ia mendatangkan kesulitan buat ahli waris. Persoalannya kini bagaimana untuk membayar dan dari sumber dana yang mana?
  3.  Ada di antara syarikat takaful yang membayar manfaat daripada dana risiko iaitu dengan maksud yang lain mengiktiraf tuntutan berdasarkan kematian. Isu yang timbul selepas itu adalah sebahagian daripada ahli waris tidak mahu menerima manfaat tersebut kerana kematian penumpang MH370 tidak lagi diisytiharkan oleh pihak berwajib. Sehingga ke hari ini status penumpang adalah “hilang”. Pembayaran manfaat kematian ini akan lebih mengguris hati ahli keluarga penumpang. Dalam situasi yang lain pihak bank pula melakukan tuntutan bagi baki hutang penumpang MH370 daripada syarikat takaful.
  4. Syarikat takaful bukan menanggung risiko secara bersendirian. Sebagian besarnya dikongsikan bersama syarikat takaful semula atau retakaful. Tidak semua syarikat retakaful mengiktiraf perkara ini dan akan membayar manfaat. Dalam keadaan pembayaran manfaat tidak dipersetujui oleh syarikat retakaful maka 100% pembayaran manfaat akan datang daripada syarikat takaful sendiri.

Kaedah pembayaran yang dibincangkan

Hasil daripada perbincangan dan perkongsian maklumat saya rumuskan semua syarikat takaful bersetuju untuk membayar manfaat takaful tetapi mengikut ketetapan yang diputuskan oleh jawatankuasa syariah syarikat masing-masing. Antara ketetapan yang telah/mungkin dibuat seperti di bawah:

  1. Sebahagian syarikat takaful memutuskan untuk tidak mengiktiraf tuntutan kematian dan akan membayar “installment” hutang penumpang MH370 dan pembayaran adalah dari sumber dana pemegang saham (shareholder fund/operator fund) bagi tempoh masa selama 4 tahun berdasarkan mazhab shafie. Jika lebih daripada 4 tahun maka kematian akan diiktiraf dan syarikat boleh mengambil semula amaun yang sudah dibayar daripada dana risiko peserta bagi menggantikan duit pemegang saham.
  2. Sebahagian syarikat takaful pula memutuskan mengiktiraf kematian bersandarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh perdana menteri dan majlis fatwa. Bagi mereka kenyataan-kenyataan tersebut adalah “good enough” untuk mengesahkan pembayaran manfaat.
  3. Ada juga yang berpandangan pembayaran manfaat adalah berdasarkan maslahah kepada ahli waris dan ahli jawatankuasa syariah berkuasa menentukannya.

Sampai sini saja perkongsian saya untuk manfaat bersama. Mudah-mudahan memberikan idea kepada pengkaji sama ada pensyarah atau pelajar yang ingin membuat kajian lanjut mengenai topik takaful dan MH370. Saya pohon maaf jika tidak respon dengan email-email anda. Hampir kesemua yang email hanya meminta tajuk assisgment dan saya tidak ada masa untuk memikirkannya untuk anda. Tetapi bagi yang jelas dengan isu yang hendak dikaji insyaAllah saya akan cuba membantu. Sama-sama dapat ilmu.
Wallahua’lam

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *