Persoalan zakat dan keikhlasan

Alhamdulillah, sempat saya nukilkan artikel ini sebagai sebuah perkongsian untuk manfaat bersama. Saya menerima pelbagai komen dan salah seorang pembaca telah bertanyakan pendapat saya berkenaan keikhlasan dalam pembayaran zakat. Insya Allah saya ulaskannya sekadar yang mampu.

Pengertian zakat, kewajipan, objektifnya dan kelebihannya dapat difahami menerusi artikel saya yang terdahulu bertajuk Pengertian dan konsep zakat. Berdasarkan artikel berkenaan saya telah menjelaskan perkara-perkara penting tentang zakat. Daripada artikel berkenaan saya simpulkan bahawa membayar zakat adalah sesuatu yang mesti dan wajib ditunaikan tidak kira sama ada ikhlas atau pun tidak. Hal ini lebih jelas berdasarkan arahan untuk memerangi golongan yang enggan menunaikan zakat berdasarkan sirah para sahabat dan pendapat-pendapat imam muktabar.

Justeru, keikhlasan tidak memberi kesan terhadap kewajipan membayar zakat. Hanya apabila kita berbicara tentang zakat sebagai satu ibadah, di sini pentingnya keikhlasan. Apa juga bentuk amalan jika diniatkan sebagai ibadah kepada Allah swt, maka balasannya adalah pahala. Begitu juga halnya dengan membayar zakat dan setiap yang diniatkan sebagai ibadah hendaklah disertakan dengan keikhlasan. Orang yang tidak ikhlas dan mempunyai agenda lain dalam amalannya merupakan orang yang sombong dengan Allah swt. Umpamanya membayar zakat bagi tujuan menunjuk-nunjuk. Sedangkan pembayaran zakat seharusnya dilakukan dengan ikhlas sebagai tanda bersyukur kepada Allah swt atas segala bentuk nikmat yang telah diberikan oleh Allah swt.

Dalam hal yang lain, saya juga pernah diajukan dengan soalan berkaitan pembayaran zakat melalui sms. Sama ada ianya sah atau tidak kerana tiada akad dan tidak bersalaman dengan amil zakat. Jawapannya sah pembayaran berkenaan. Sepertimana yang dinyatakan di atas ia satu bentuk kewajipan dan transaksi pembayaran tersebut berbentuk unilateral dan bukan berbentuk bilateral di antara dua pihak. Justeru akad bukan merupakan satu kemestian. Hal yang sama juga bagi pembayaran secara atas talian (online) dan sebagainya. Tatkala pembayaran dilakukan terlepaslah tuntutan zakat berkenaan.

Sebagai seorang yang beriman, seharusnya kita tidak mempertikaikan perintah Allah tentang kewajipan membayar zakat. Hendaklah kita sentiasa bersyukur dengan rezeki kurniaanNya. Bahkan kita dituntut mendapatkan pahala yang lebih daripada rezeki yang diperoleh sepertimana yang dinyatakan dalam surah al-qasas ayat 77 yang bermaksud:

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba2 Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah), dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.

One Comment

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *