Jangan kedekut dan jangan boros

Sifat kedekut dan sifat pemurah adalah dua sifat yang saling berlawanan di antara satu sama lain. Lazimnya orang yang bersifat pemurah akan lebih disenangi oleh orang lain. Sifat kedekut pula mendatangkan persepsi negatif dan tidak disenangi orang lain. Orang yang pemurah lazimnya mengandaikan pemberiannya adalah pelaburan untuk akhirat dan orang yang kedekut pula adalah orang yang takut habis hartanya. Di satu sudut, orang yang pemurah sedang menggandakan hartanya untuk kehidupan dua dunia tetapi orang yang kedekut lebih suka mengawal hartanya dan merasakan pemberian kepada orang lain mengurangkan darjah kekayaannya.

Ada lagi satu keadaan di mana seseorang itu sifatnya teramat pemurah sehingga tidak apa-apa lagi yang tinggal untuk dirinya sendiri. Individu seperti ini pula biasanya menyebabkan orang lain mudah mengambil kesempatan ke atas dirinya. Akhirnya pemberiannya tidak sampai kepada orang yang benar-benar memerlukan. Ada juga yang sangat pemurah kepada teman-teman sehingga terabai ahli keluarga sendiri. Orang yang terlebih pemurah ini sebenarnya telah jatuh ke dalam kategori manusia yang boros dalam membelanjakan hartanya.

Allah swt sebenarnya telah memberikan kita panduan tentang bagaimana menguruskan dua sifat ini. Di dalam surah al-Israk ayat 29, Allah swt telah berfirman yang bermaksud:

“ … dan janganlah Engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula Engkau menghulurkannya Dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan Tinggalah Engkau Dengan keadaan Yang tercela serta kering keputusan”

Ungkapan sepertimana dinyatakan dalam maksud ayat di atas lazim digunakan oleh masyrakat arab yang bererti larangan bersifat bakhil sehingga enggan memberikannya kepada orang lain walaupun sedikit. Allah juga melarang yang menghulurkan tangan dan ungkapan ini merujuk kepada orang yang boros membelanjakan hartanya sehingga ia tidak punyai apa-apa dan dicela oleh orang sekelilingnya.

Apa yang ingin ditekankan di sini adalah soal keseimbangan dan wasatiyah dalam pengurusan harta. Di sinilah kita perlu bijak dalam soal pengurusan harta. Islam tidak melarang umatnya daripada menjadi kaya bahkan menggalakkannya dengan harapan golongan yang kaya akan menyalurkan sedikit kekayaannya kepada golongan yang memerlukan sama ada berbentuk zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya. Kita juga tidak dilarang daripada menyimpan harta sepertimana dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat imam Ahmad. Dari Ibn Abas berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan menjadi miskin orang yang berhemat”.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *