Jul 09

Kelebihan ibadah puasa dari perspektif kesihatan

Sesungguhnya setiap amal ibadah berbentuk fi’liyyah

(perbuatan) yang dianjurkan oleh islam mempunyai pelbagai hikmah yang tersirat. Setiap pergerakan anggota tubuh ada tujuan dan kelebihannya. Begitu juga seluruh isi alam kejadian ini. Sepertimana dinyatakan dalam surah ali Imran ayat 191:

“… (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia.”

Begitu juga dengan ibadah puasa yang padanya terdapat banyak kelebihan dari sudut kerohanian dan kesihatan tubuh badan. Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri, manakala dari segi istilahnya memberi erti menahan diri daripada makan dan minum dan dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari dengan syarat-syarat tertentu.

Dari pengertian di atas, dapat kita fahami bahawa maksud dasar puasa adalah menahan diri daripada beberapa hal iaitu merupakan satu bentuk disiplin yang perlu kita ikuti sepanjang bulan ramadhan. Dari aspek kesihatan, menahan diri daripada makan dan minum di waktu siang mungkin di anggap menyisakan diri dan membawa mudharat bagi orang yang tidak faham lantas mendakwa islam sebagai satu agama yang zalim pada penganutnya. Pandangan ini mungkin betul jika kita selaku umat islam sendiri gagal mengikuti sunnah dan kaedah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad Saw. Selain diwajibkan kita berpuasa di siang hari, islam juga mensyariatkan ibadah sahur. Sahur bukan makan semata-mata tetapi juga merupakan satu amal ibadah dan ada keberkatan di dalamnya. Dengan bersahur, badan akan lebih bertenaga untuk mengharungi ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Diriwayatkan oleh al-Miqdam bin Ma’di Yaqrib, dari Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu semua makan sahur kerana sahur adalah makanan yang penuh berkat”.
(Hadis riwayat an-Nasa’i)

Jika ibada puasa ini dijalankan sepertimana dianjurkan, ia tidak akan mendatangkan kemudharatan sebaliknya memberikan kesihatan dari beberapa sudut. Antaranya:

1. Menjaga kesihatan jantung
Sepertimana yang kita sedia maklum masalah jantung berkait rapat dengan kolestrol. Kolestrol pula berkait rapat dengan cara pemakanan kita. Kita makan tanpa henti kecuali dalam bulan ramadhan. Bayangkanlah selama 11 bulan kita mengumpul kolestrol dengan pelbagai jenis makanan yang kita makan setiap hari. Jadi di bulan ramadhan, kita dapat mengurangkan pengambilan kolestrol dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung.

2. Mengurangkan risiko penyakit kencing manis.
Kita biasanya minum pagi dengan teh tarik, tengah hari teh o ais, petang milo ais, malam kopi tarik. Semua yang kita minum menyumbang kepada peningkatan gula dalam darah. Dengan berpuasa, kita dapat mengurangkan pengambilan gula seterusnya mengurangkan risiko mendapat penyakit kencing manis.

3. Kesihatan mental
Apabila sebut sahaja bulan Ramadhan, ramai yang tahu adab-adab dan larangan yang perlu dipatuhi. Kita juga dilarang menyakiti hati orang lain. Jadi bulan puasa menjadikan kita lebih bersabar dan mengurang “stress”. Selain itu, dengan berpuasa akan menyempitkan salur darah yang menyebabkan syaitan sukar untuk masuk ke dalam tubuh badan manusia.

4. Mengurangkan berat badan
Dengan adab dan disiplin yang dianjurkan islam, berat badan akan dapat dikurangkan. Ianya dapat dicapai melalui pengurangan jumlah makanan yang di ambil. Ditambah dengan amalan bersederhana dalam menyediakan juadah berbuka.

Mudah-mudahan dengan kesihatan yang dikurniakan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk melaksanakan amal ibadah dan kita dijauhi daripada mendapat penyakit akibat daripada makan berlebihan.

1 comment

  1. terima kasih dan alhamdulillah… informasi ini banyak membantu saya……….

Leave a Reply

Your email address will not be published.