quran

Alhamdulillah, hari ini telah masuknya hari ke 14 kita berpuasa dan beberapa hari lagi kita akan menyambut nuzul al-quran. Mungkin kita akan cemburu kerana mereka yang bekerja di negeri Selangor akan bercuti pada sambutan berkenaan. Sebaiknya janganlah kita cemburu kerana cuti tetapi cemburulah pada mereka yang memanfaatkan hari berkenaan untuk membaca dan menghayati al-Quran. Memperingati dan menyambut nuzul al-quran adalah suatu perkara yang sangat baik di sisi islam sekiranya ianya dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dan menjurus kepada menghayati al-Quran.

Walaupun kita tidak bercuti, penuhilah masa-masa lapang kita dengan membaca al-quran. Ini kerana tarikh nuzul al-quran itu tidaklah disepakati oleh para ulamak. Sebagiannya menyatakan ianya diturunkan pada 17 ramadhan, sebahagian mufassirin pula menyatakan al-quran diturunkan pada 24 ramadhan dan ada juga yang membuat analisis dan menyatakan nuzul al-quran ialah pada 21 ramadhan. Walau apapun tarikh yang dikemukakan, ia hanyalah berkenaan tarikh dan tidak menjejaskan tujuan diturunkan al-quran dan keutamaannya.

Al-quran sebagai sumber utama panduan kehidupan manusia telah diturunkan melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW. Baginda telah membawa amanah tersebut serta memberi penjelasan melalui sunnahnya. Melalui al-quran jugalah berkembangnya ilmu-ilmu agama dan keduniaan yang lain. Justeru, untuk mengenali al-quran kita perlu belajar ilmu tentang al-quran itu sendiri iaitu Ulum al-quran.

Al-Quran merubah kehidupan manusia

Al-quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun demi memastikan ianya dapat diterima oleh umat manusia. Ianya bertepatan dengan dengan fitrah manusia yang tidak mampu menerima perubahan yang mendadak. Sebelum turunnya al-quran (khususnya di tanah arab) umat manusia ketika itu hidup dalam kepelbagaian kepercayaan, kebudayaan dan etika kehidupan yang rendah dan dirujuk sebagai zaman jahiliyyah. Maka al-quran diturunkan untuk memberi panduan untuk membawa perubahan.

Di antara perubahan yang di bawa adalah perubahan dari sudut akidah. Melalui konsep tauhid yang di bawa oleh agama islam, al-quran menyatakan kepada umat manusia bahawa tuhan itu bersifat Esa dan Tunggal. Hanya Allah yang wujud dan Dia telah menciptakan makhluk dan alam semesta ini. Dengan itu, konsep kepelbagaian tuhan dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat jahiliyyah telah ditolak.

Perubahan kedua ialah perubahan dalam soal ibadah. Lanjutan daripada konsep tauhid yang dibawa, maka al-quran mengajar umat manusia bahawa hanya Allah SWT yang layak disembah dan melalui konsep syirik, islam melarang keras perbuatan menyembah selain dari Allah seperti menyembah patung berhala, matahari, bulan, api, dan lain-lain. Al-quran juga telah menjelaskan tentang kewajipan-kewajipan ibadah seperti menunaikan solat, berpuasa, haji, menunaikan zakat dan sebagainya.

Perubahan ketiga ialah perubahan dari sudut akhlak. Islam menganjurkan akhlak yang terpuji dan al-quran telah memberi petunjuk bagaimana akhlak seseorang muslim serta memberi pengajaran tentang akhlak yang tercela. Dengan hukum hakam yang dinyatakan di dalam al-quran terutamanya dalam soal jinayat, islam sebenarnya mahu mendidik dan menjadikan masyarakat agar dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Perubahan keempat ialah perubahan dari sudut siasah atau politik. Umat manusia di zaman jahiliyah sememangnya terkenal dengan sifat berpecah belah dan saling mahukan kuasa. Mereka ini hidup secara berkabilah dan mengagung-agungkan keturunan sehingga menguasai dan memonopoli sesuatu bidang. Kitab suci al-quran datang membawa konsep kesaksamaan dan perpaduan. Al-Quran memberi panduan tentang etika berpolitik dan bagaimana untuk mentadbir negara. Justeru, adalah tidak tepat untuk memisahkan politik dari agama kerana agama menjadikan politik itu adil dan mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak baik.

Perubahan kelima ialah perubahan dari sudut ekonomi. Seperti telah dinyatakan di atas, masyarakat jahiliyyah menguasai dan memonopoli sesuatu bidang terutamanya ekonomi. Ini menyebabkan golongan kaya menindas golongan miskin dan perhambaan berleluasa. Islam melalui al-quran telah mengharamkan riba dan menghalalkan jual beli. Selain itu perbuatan ihtikar atau menyorokkan barangan dan monopoli juga dilarang. Ini membolehkan harga barangan ditentukan oleh pasaran dan masyarakat tidak terbeban dengan hutang akibat riba yang dikenakan ke atas pinjaman. Bukan itu sahaja, islam memperkenalkan instrumen kewangan bersifat sosial seperti zakat, wakaf, sedekah dan lain-lain lagi. Bantuan yang diberikan ini akan meningkatkan kuasa beli golongan miskin dan seterusnya meningkatkan permintaan dalam pasaran. Ini dengan jelas membantu meningkatkan ekonomi sesebuah negara.

Sebagai penutup artikel ringkas ini, penulis ingin tekankan bahawa islam bersifat syumul dan sebagai jalan kehidupan. Semua permasalahan dalam kehidupan ada jawapannya di dalam al-Quran. Maka sekiranya kita telah tersesat, kembalilah kepada kitabullah dan al-sunnah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...