Al-Quran pembina akhlak mulia pekerja

AKHLAK ialah tingkahlaku yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang diyakini oleh seseorang dan sikap yang menjadi sebahagian daripada keperibadiannya. Nilai-nilai dan sikap itu pula terpancar daripada konsepsi dan gambarannya terhadap hidup. Dengan perkataan lain, nilai-nilai dan sikap itu terpancar daripada aqidahnya iaitu gambaran tentang kehidupan yang dipegang dan diyakininya

Akhlak yang baik dan akhlak yang buruk, merupakan dua jenis tingkahlaku yang berlawanan dan terpancar daripada dua sistem nilai yang berbeza. Kedua-duanya memberi kesan secara langsung kepada kualiti individu dan masyarakat. lndividu dan masyarakat yang dikuasai dan dianggotai oleh nilai-nilai dan akhlak yang baik akan melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera. Begitulah sebaliknya jika individu dan masyarakat yang dikuasai oleh nilai-nilai dan tingkahlaku yang buruk, akan porak peranda dan kacau bilau. Masyarakat kacau bilau, tidak mungkin dapat membantu tamadun yang murni dan luhur.

Sejarah membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu yang inginkan kejayaan bermula daripada pembinaan sistem nilai yahg kukuh yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaikan yang terpancar daripada aqidah yang benar. Masyarakat itu runtuh dan tamadunnya hancur disebabkan keruntuhan nilai-nilai dan akhlak yang terbentuk daripadanya. Justeru itu, akhlak mempunyai peranan yang penting di dalam kehidupan dan dalam memelihara kemuliaan insan serta keluhurannya. Martabat manusia akan menurun setaraf haiwan sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai murni tidak dihormati dan dihayati. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku diutus untuk melengkapkan akhlak yang mulia. (Riwayat al-Baihaqi)

Para sarjana dan ahli fikir turut mengakui pentingnya akhlak di dalam membina keluhuran peribadi dan tamadun manusia. akhlak yang mulia menjadi penggerak kepada kemajuan dan kesempurnaan hidup. Sebaliknya, akhlak yang buruk menjadi pemusnah yang berkesan dan perosak yang meruntuhkan kemanusiaan serta ketinggian hidup manusia di bumi ini.

Al-Quran menggambarkan bagaimana aqidah orang-orang beriman, kelakuan mereka yang mulia dan gambaran kehidupan mereka yang penuh tertib, adil, luhur dan mulia. Berbanding dengan perwatakan orang-orang kafir dan munafiq yang jelek dan merosakkan. Gambaran mengenai akhlak mulia dan akhlak keji begitu jelas dalam perilaku manusia Sepanjang sejarah. Al-Quran juga menggambarkan bagaimana perjuangan para rasul untuk menegakkan nilai-niiai mulia dan murni di dalam kehidupan dan bagaimana mereka ditentang oleh kefasikan, kekufuran dan kemunafikan yang cuba menggagalkan tertegaknya dengan kukuh akhlak yang mulia sebagai teras kehidupan yang luhur dan murni itu. AL-Quran bukan setakat menceritakan kisah-kisah umat terdahulu tetapi juga di dalamnya mengandungi nilai-nilai murni yang menjadi tauladan dan panduan hidup kepada manusia.

Justeru, sebagai seorang pekerja kita seharusnya tidak melupakan al-Quran disamping melakukan tugas dan aktiviti seharian. Luangkanlah sedikit masa untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran. Walaupun tidak memahami erti ayat-ayat yang dibaca, al-Quran sebagai mukjizat agung mampu memberikan halwa jiwa yang mampu menenangkan jiwa, perasaan dan minda. Dengan akal dan jiwa yang bersih akan membuatkan hari-hari seseorang pekerja itu lebih berkat, ceria dan cergas. Ini akan memberikan kekuatan kepada pekerja untuk bekerja dengan lebih tekun. Membaca al-Quran juga dapat mendisiplinkan diri dan membuatkan kita sentiasa ingat akan kekuasaan Allah justeru meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah. Dengan taqwa yang tinggi maka sifat-sifat mazmumah dalam pekerjaan seperti pecah amanah, ponteng, menipu dan sebagainya dapat dihindarkan.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *