ibu2

Mungkin kita berbeza bangsa, warna kulit dan agama tetapi pastinya setiap individu yang dipanggil manusia mempunyai seseorang yang melahirkannya. Ibu, mama, mother, amma, ummi, mak dan perkataan lain yang sama maksud atau seumpanya merujuk kepada orang yang melahirkan seseorang yang lain.Dalam agama islam, darjat wanita diangkat begitu tinggi bahkan lebih tinggi berbanding kaum lelaki dalam konteks kekeluargaan. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Nabi Muhammad SAW tatkala ditanya tentang mengasihi ibu dan bapa. Baginda telah mengisyaratkan bahawa dalam mengasihi ibu dan bapa, darjat ibu adalah 3 kali lebih tinggi berbanding bapa. Rasionalnya, ibu lah yang telah membawa kita dalam kandungan selama 9 bulan dan bersusah payah melahirkan kita. Kesukaran dan azab melahirkan seorang anak hanya si ibu sahaja yang mengetahuinya sehingga seringkali juga kedengaran bahawa si ibu meninggal dunia ketika melahirkan anak. Pengalaman penulis sendiri berada di dalam dewan bersalin menemani isteri memberi keinsafan yang cukup besar tatkala melihat isteri meronta-ronta kesakitan menahan azab. Timbul keinsafan bahawa penulis perlu menghargai isteri dan ibu yang telah melahirkan penulis. Dari pengalaman ini, penulis berpendapat sememang layak bagi ibu-ibu yang meninggal dunia ketika melahirkan anak di anugerahkan dengan mati syahid dan mendapat syurga.

Cabaran bagi seorang ibu bukan sahaja ketika mengandung dan melahirkan bahkan lebih mencabar ketika dalam pantang dan bagi sesetengah yang kurang bernasib baik mungkin berlanjutan akibat anak menghidapi penyakit. Bagi yang bernasib baik cabarannya adalah memberi didikan sempurna sehingga anak tersebut menjadi insan yang berguna dan berbakti kepada kedua ibu dan bapanya. Walaupun begitu, mungkin akibat kurangnya didikan agama dan kurangnya sifat prihatin ibu bapa sendiri terhadap persekitaran menyebabkan anak-anak menjadi tidak hormat atau derhaka apabila dewasa.

Tanggung Jawab anak terhadap ibu bapa

Terletak di bahu anak-anak ialah tanggung jawab terhadap kedua ibu dan bapanya sama ada mereka telah bersuami ataupun beristeri. Umumnya tanggung jawab ini terbahagi kepada dua keadaan iaitu yang pertama ialah tanggung jawab ketika ibu bapa masih hidup dan yang kedua ialah tanggung jawab sesudah mereka meninggal dunia.

Tanggung jawab anak ketika ibu bapa masi hidup

Ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak, pengorbanan yang telah dicurahkan sejak kita berada dalam kandungan seharusnya di balas dengan kebaikan.

1. Islam memerintahkan anak-anak supaya berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-ahqaf ayat 15:

15. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya Dengan menanggung susah payah. sedang tempoh mengandungnya beserta Dengan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa tiga puluh bulan. setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa Yang sempurna kekuatanNya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia Dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)”.

2. Berlemah lembut dan berbudi bahasa. Anak-anak perlu berlemah lembut dan berbudi bahasa ketika sedang berbicara dengan ibu bapa dan perbuatan meninggikan suara adalah dilarang sepertimana dinyatakan dalam surah al-Israk ayat 23:

23. dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).

3. Pengorbanan harta benda. Adalah menjadi tanggung jawab anak-anak untuk menyara kehidupan ibu bapanya lebih-lebih lagi jika keadaan mereka telah uzur dan tidak mampu bekerja. Anak-anak perlu berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan mesti sanggup mengorbankan harta benda untuk mendapatkan penjagaan yang terbaik buat ibu bapa.

Tanggung jawab sesudah ibu bapa meninggal dunia

Hubungan di antara anak-anak dan kedua ibu bapanya tidak akan terputus dengan kematian ibu dan bapa. Anak-anak masih mempunyai tanggung jawab seperti berdoa untuk ibu bapanya dan melaksanakan segala amanah yang ditinggalkan. Dalam satu hadis yang lazim kita dengar menyatakan:

“Apabila mati anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang berfaedah dan doa daripada anak yang soleh”

Selain berdoa, anak-anak juga bertanggung jawab untuk melaksanakan tanggung jawab ibu bapa yang belum sempat ditunaikan seperti melaksanakan nazar, mengqada’kan puasa, melakukan badal haji, melunaskan hutang piutang dan sebagainya.

Derhaka kepada ibu bapa

Setiap perbuatan yang tidak baik yang dilakukan kepada ibu bapa menggambarkan sifat anak derhaka walaupun kadangkala ianya sudah menjadi kebiasaan. Antara lain perbuatan tidak menghormati seperti menengking atau memukul ibu bapa. Pernah juga kita dengar ada anak yang sanggup menyembelih ibu bapanya kerana harta. Perbuatan menderhakai ibu bapa merupakan satu dosa besar sepertimana yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Di antara dosa besar adalah makian seseorang terhadap kedua orang tuanya. Mereka bertanya “Wahai Rasulullah, apakah seseorang memaki kedua orang tuanya”. Baginda menjawab “Ya, ia memaki ayah orang lain, lalu orang lain memaki ayahnya, dan ia memaki ibu orang lain, lalu orang lain itu memaki ibunya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis di atas juga kita mendapati bahawa bukan sahaja memaki ibu bapa sendiri berdosa besar malah memaki ibu bapa orang lain juga adalah dilarang. Ini menunjukkan betapa mulianya orang yang bergelar ibu dan ayah.

Sambutan hari ibu

Seperti yang kita sedia maklum sambutan hari ibu ini berasal daripada negara barat. Setelah menelusuri sejarah sambutan “mothers day” ini sebahagian ulama’ mengharamkannya dan sebahagian mengambil sikap sebaliknya. Di antara alasan pengharaman adalah sifat tasyabbuh atau pun perbuatan menyerupai amalan atau perbuatan orang kafir. Sebahagian ulama’ yang lain pula menyatakan bahawa sambutan ini telah berevolusi dan tidak lagi berkait dengan amalan orang kafir dan ianya telah menjadi adat di mana-mana sahaja. Ianya jelas berbeza dengan hari kekasih (valentine day) yang mana ia disambut serentak pada 14 Februari bagi memperingati sesuatu yang jelas dilarang dalam islam. Sambutan hari ibu nampaknya disambut berbeza mengikut negara dan ia bukanlah menjadi satu perayaan.

Penulis berpendapat, sambutan hari ibu bukanlah sejenis perayaan dan ianya disambut sebagai memperingati seseorang. Ianya sama seperti sambutan hari pekerja, hari polis, hari guru, hari setiausaha dan sebagainya. Walaupun begitu, sambutan yang dilakukan dan pengisiannya hendaklah tidak terkeluar daripada batas-batas agama. Contohnya, menjaga batas-batas pergaulan di antara bukan mahram, menyediakan makanan yang halal, sambutan dibuat dengan bersederhana dan tidak menyerupai sambutan orang kafir.

Walaupun begitu, haruslah kita ingat penghormatan terhadap kaum ibu adalah sesuatu yang diiktiraf dalam islam dan ianya tidak dihadkan pada waktu atau bulan tertentu sahaja. Sepertimana telah dibincangkan, ayat al-Quran secara qati’e memerintahkan kita berbuat baik kepada ibu bapa dan tidak terhad pada sambutan hari ibu dan hari bapa sahaja. Pepatah melayu ada mengatakan “Syurga anak terletak di bawah telapak kaki ibu”. Papatah ini menunjukkan betapa pentingnya mentaati ibu. Tidak ada makna jika kita menyambut hari ibu tetapi pada hari-hari yang lain kita tidak taat kepada perintah ibu.

Sebagai penutup, mari kita renungkan apa yang dinyatakan oleh Luqmanul hakim kepada anaknya:

14. dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

15. dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau – Dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.

Nukilan : Ustaz Saifudin

Download versi PDF yang mengandungi ayat-ayat al-Quran

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...