May 03

Pengenalan kepada pusaka

Persoalan tentang pusaka sememangnya rumit. Bukan saja orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan dan pembelajaran formal tentang subjek ini malah mereka yang mempelajarinya juga sering keliru.
Sudah tentu juga bagi orang yang lemah dalam matematik kurang meminatinya. Saya sendiri tidak terkecuali. Suatu ketika dahulu subjek faraid merupakan salah satu subjek yang dipelajari di sekolah agama di johor. Mungkin pada ketika itu, saya masih terlalu muda untuk mengambil berat pada subjek berkenaan. Penyebabnya saya dapat gred 8 untuk subjek berkenaan.

Isu berkaitan pusaka ini sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan takaful. ini kerana menurut pandangan majoriti ulama semasa manfaat takaful perlu diuruskan secara faraid. Tanpa mengambil kira perbincangan dan isu-isu berkaitan perkara tersebut, saya ingin kongsikan sedikit sebanyak ilmu berkaitan pusaka kepada para pembaca.

Apa itu pusaka?

Pusaka menurut kamus dewan bermaksud harta benda yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal (untuk diwarisi oleh keluarganya dan lain-lain)

Dalam bahasa arab, pusaka disebut sebagai al-irth, al-wirth atau al-wirathah, Dalam bahasa melayunya diterjemah sebagai warisan. Harta warisan yang ditinggalkan si mati pula disebut sebagai al-Mirath.

Menurut istilah syara’ harta warisan atau mirath merujuk kepada harta benda peninggalan orang yang telah meninggal dunia yang telah menjadi hak mutlak ahli waris untuk diagih-agihkan dikalangan mereka yang berhak.

Orang-orang yang berhak menerima harta pusaka

Terdapat tiga sebab yang menjadikan seseorang itu berhak untuk menerima harta pusaka iaitu disebabkan nasab, musaharah dan wala’. Mereka yang dikategorikan dalam tiga kelompok ini disebut juga sebagai ashabul mirath iaitu orang yang berhak menerima harta warisan.

Nasab

Perkataan nasab sememangnya biasa digunakan dalam masyarakat melayu bagi menunjukkan susur galur keturunan. Nasab merujuk kepada orang yang mempunyai pertalian darah dan juga biasa disebut sebagai qarabah atau kerabat. Golongan ini merupakan penerima pusaka yang utama. Nasab atau pertalian darah ke atas disebut sebagai ’Usul” dan pertalian darah kebawah disebut sebagai ”furu’”. Contoh ”usul” adalah seperti bapa, datuk dan seterusnya. Contoh ”furu’” pula adalah anak, cucu, cicit dan sebagainya. Selain itu ada nasab bersifat kesamping contohnya seperti adik beradik, bapa saudara, anak saudara dan lain-lain.

Musaharah

Musaharah merujuk kepada keadaan di mana jika lelaki dan perempuan menjalin ikatan perkahwinan yang sah, maka kedua-duanya berhak saling mewarisi. Isteri berhak mempusakai harta suami dan sebaliknya.

Wala’

Wala’ merujuk kepada hubungan kerabat yang terjadi apabila seseorang membebaskan seseorang hamba sahaja. Orang yang membebaskan akan menjadi wala’ kepada orang yang dibebaskan. Disebabkan itu, dia berhak mendapat harta pusaka daripada orang yang dibebaskan. Disebabkan sistem perhambaan ini sudah tidak wujud maka tidak wujud lagi wala’.

Syarat dan Rukun perwarisan

Untuk berlakunya perwarisan, maka perlulah cukup rukun dan syaratnya. Jika tidak, maka tidak berlakulah ia.

  1. Al-Muwaris: iaitu orang si mati yang diwarisi hartanya
  2. Al-Waris : iaitu ahli waris yang akan mewiri harta si mati
  3. Al-Maurus : iaitu harta peninggalan si mati yang layak dibahagikan kepada ahli waris setelah mengambil kira kos pengurusan jenazah, penyelesaian hutang si mati dan wasiat si mati.

Insyaallah kita akan sambung perbincangan pada entry yang akan datang.

3 comments

    • roshafiza binti md zain on November 24, 2012 at 10:47 am

    assalamualaikum…ustaz..
    sy ada kemusykilan sedikit..apa pendapat ustaz … apakah sebab-sebab berhak untuk mewarisi pusaka bg orang bukan islam? mohon pendapat.
    jika untuk orang islam sebab-sebabnya ialah pertalian keluarga, perkahwinan, wala’ ..bh orang bukan islam?

  1. Waalaikumussalam wbt

    Hak-hak perwarisan sama sahaja bagi semua manusia dan lebih kepada menjaga hak individu tertentu. Cuma perlaksanaan dan kaedahnya sahaja yang berbeza bagi bukan islam. Antara lain mereka berhak menentukan sesiapa yang akan menerima harta walaupun bukan ahli waris. mereka tiada sistem perwarisan seperti islam. Jadi ia tidaklah perlu sebab-sebab seperti yang tertakluk kepada orang islam. Cuma apabila melibatkan soal perbezaan agama, ia disyaratkan orang islam tidak boleh mewarisi harta orang bukan islam dan sebaliknya.

    • Noorafifah waipin on November 29, 2017 at 2:49 pm

    Assalamualaikum ustaz .. pada pendapat ustaz, apa sebab-sebab yang menyebabkan ramai masyarakat umat islam khususnya pada hari ini tidak mengetahui tentang sistem pewarisan ini selain daripada kurang pengetahuan dalam ilmu pewarisan dan kurang pendedahan tentang ilmu mirath ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published.