Nov 23

Pelancaran HLTMT-i Ihsan dan Badal Haji pertama

Lama juga tak menulis dalam blog ini. Bila menulis ni pastinya ada cerita yang menarik untuk dikongsikan. Semalam saya sempat untuk menghadiri majlis perasmian produk takaful terbaru daripada Hong Leong Tokio Marine Takaful. Produk tersebut diberi nama HLTMT-i Ihsan. Produk ini merupakan produk “term + saving”. Saya tidak berhasrat untuk mereview produk ini kerana saya bukanlah orang yang arif tentangnya.

Saya tertarik kepada event-event sampingan yang dijalankan. Sebenarnya majlis ini mengandungi 4 program yang dijalankan serentak iaitu perjumpaan ejen,perasmian produk, MOU bersama As-Salihin Trustee dan majlis penyerahan manfaat kematian dan badal haji kepada ahli waris. Yang menarik perhatian saya adalah jalinan kerjasama yang diadakan diantara HLTM Takaful dan As-salihin trustee. Saya melihat kerjasama di antara kedua pihak akan membawa kepada lengkapnya pengurusan harta bagi orang Islam. Seringkali kita melihat ahli keluarga saling bercakaran ketika proses pembahagian harta pusaka. Salah satu daripada harta ini datangnya daripada bayaran manfaat takaful. Justeru, dengan adanya kerjasama dengan As-Salihin trustee harta peninggalan dapat diuruskan dan dibahagi-bahagikan dengan sebaik-baiknya dan menurut kehendak syarak. Bagi saya ia merupakan pelengkap kepada operasi takaful.

Seterusnya berkenaan badal haji. HLTM Takaful telah bekerjasama dengan Tabung Haji Travel & Services bagi menawarkan servis badal haji kepada peserta takaful. Sejumlah RM2500 daripada keseluruhan manfaat akan ditolak untuk melaksanakan badal haji bagi si mati. Ianya percuma dan atas pilihan peserta sendiri. Dalam majlis yang sama keluarga kepada salah seorang peserta takaful yang meninggal dunia pada aidil fitri yang lalu telah dijemput untuk menerima bayaran manfaat dan juga sebagai menandakan bahawa ibadah haji telah dilaksanakan bagi pihak si mati.

Saya sedikit teruja apabila mendapat tahu bahawa ada dikalangan ahli keluarga si mati yang telah bermimpi bahawa Allahyarham sedang melakukan ibadah wukuf. Mungkin inilah barakahnya hasil daripada servis badal haji ini. Menyertai servis badal haji ini bukanlah bermaksud kita tidak perlu mengerjakannya tetapi ia adalah sebagai langkah persediaan. Takut-takut kita tak sempat melaksanakannya. Mungkin kita mengaharap ahli keluarga kita akan melaksanakannya bagi pihak kita tetapi kita harus sedar bahawa adakah kita mempunyai isteri yang taat, anak yang soleh dan solehah yang memikirkan kebajikan diri kita sesudah mati? ataupun adakah kita telah membekalkan mereka dengan wang banyak untuk melaksanakannya? dalam banyak kes, apabila selesai saja pembahagian harta ahli waris akan lupa tanggung jawab mereka kepada si mati. Wallahua’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published.