images

InsyaAllah tulisan kali ini akan cuba menjawab soalan yang dikemukakan oleh oleh zahraa dalam ruangan komentar. Beliau mengutarakan soalan tentang perbezaan konsep Mudharabah dan Wakalah dalam insurans dan apa kelebihan wakalah.
Bagi soalan pertama saya telah pun menjawabnya melalui sebuah artikel inggeris bertajuk Mudharabah Model in Takaful.

Sebelum saya mengulas lebih lanjut ingin saya tegaskan tentang terma-terma takaful dan insurans kerana saya dapati ramai yang keliru. Mungkin dalam artikel yang lain saya akan mengulas khusus tentang terma-terma ini. Cuma bagi tulisan kali ini hendaklah para pembaca fahami Insurans secara islam disebut sebagai Takaful. Ini bagi membezakan insurans secara konvensional dan insurans secara islam yang mana kedua-duanya mempunyai perbezaan yang cukup besar sama ada dari segi prinsipnya dan rohnya. Jadi, sila buang fahaman takaful itu sama saja dengan insurans walau pun sesetengah syarikat pengendali sendiri melabelkan diri mereka dengan perkataan “insurans”.

Wakalah adalah satu perkataan yang berasal daripada bahasa arab yang membawa maksud seseorang atau sesuatu pihak bertindak bagi pihak lain. Dalam bahasa mudahnya membuat kerja untuk orang lain atau menjadi wakil bagi seseorang dalam melaksanakan urusannya. Konsep wakalah ini sememangnya diterima dalam yang mana ianya sangat penting bagi memenuhi keperluan kehidupan. Konsep wakalah ini dapat kita temui di dalam surah al-kahfi ayat ke 19 yang bermaksud:

Dan Demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. salah seorang di antaranya bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab: “Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”. (sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang Utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah Dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan Yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut Dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah Dia melakukan sesuatu Yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

Kisah tentang ashabul kahfi di atas menunjukkan kisah tentang perutusan atau perwakilan yang berlaku di zaman dahulu. Hakikatnya walaupun bukan atas dasar prinsip-prinsip islam, perwakilan ini dibenarkan kerana kehidupan manusia ini saling memerlukan antara satu sama lain. Kemudian islam datang dengan garis-garis panduannya bagi memastikan perwakilan yang dilakukan adalah selaras dengan kehendak islam. Antara lain Islam menegah perwakilan bagi melakukan perbuatan jenayah dan dosa seperti menggunakan pembunuh upahan, mengupah kaki pukul dan sebagainya.

Berbalik kepada soalan tentang kelebihan wakalah, tidak syak lagi ia adalah sebagai pelengkap kepada kehidupan. Dalam perniagaan Takaful pula, umumnya para pengendali Takaful menggunapakai model perniagaan berasaskan Mudharabah dan Wakalah. Malaysia telah memulakan sistem Takaful dengan penubuhan Syarikat Takaful Malaysia yang menggunapakai model Mudharabah. Walaupun begitu setelah lebih daripada 20 tahun beroperasi, kini Takaful Malaysia turut sama menggunakan model wakalah bagi perniagaan Takaful Keluarganya sepertimana digunapakai oleh operator Takaful yang lain.

Pastinya terdapat perbezaan antara kedua model ini. Saya tidak ingin mengulas lanjut tentang model Mudharabah. Kita akan lihat kebaikan dan kelebihan model wakalah tanpa melihat kekurangan model Mudharabah. Sebenarnya insurans konvensional telah pun menggunapakai konsep wakalah ini atau juga disebut sebagai sistem agensi. Mereka telah memanfaatkannya dan dengan pantas perniagaan insurans dapat berkembang dengan pantas. Begitu juga dengan Takaful, dengan menggunakan konsep wakalah ini beberapa kelebihan dapat dilihat. Antaranya seperti berikut:

  1. Sebagai alat pemasaran yang penting. Dengan menggunakan konsep wakalah atau sistem agen pengendali Takaful dapat meluaskan pasaran dengan lebih cepat dan pantas. Agen-agen yang dimotivasikan dengan komisen dan insentif pastinya akan berusaha keras mendapatkan bisnes kerana komisen dan insentif adalah sumber pendapatan mereka. Syarikat yang mempunyai ejen yang ramai dan berkualiti pastinya dapat meningkatkan jumlah sumbangan dalam masa yang pantas dan membolehkan perniagaan syarikat berkembang dengan pesat.
  2. Untuk memastikan perkhidmatan yang lebih baik. Dengan penggunaan agen, adalah diharapkan mereka mampu untuk memberikan penerangan dan juga khidmat nasihat tentang kepentingan mendapatkan perlindungan Takaful dan juga menguruskan perjalanan dan proses mendapatkan perlindungan tersebut. Mereka ini menjadi “contact point” di antara peserta dan juga syarikat. Mereka seharusnya bertanggung jawab membantu para peserta sama ada dalam urusan penyertaan dan juga tuntutan manfaat.
  3. Kos overhead yang rendah. Dengan penggunaan wakalah juga syarikat mampu mengurangkan kos-kos wajib dan tetapnya. Dengan sistem agensi mereka tidak perlu membuka cawangan di setiap daerah. Mungkin memadai mempunyai satu cawangan di setiap negeri. Dengan sistem agensi ini agen-agen boleh membuka agensi sendiri sekiranya mereka ingin mendapatkan pulangan yang lebih tinggi. Membuka agensi sendiri adalah atas inisiatif dan kos mereka sendiri. begitu juga tentang “distribution channel” yang lain seperti penggunaan agen korporat telah menjimatkan belanja syarikat. Agen korporat contohnya adalah seperti Pos Malaysia. Kita boleh membayar sumbangan di Pos Malaysia. Saluran lain adalah menggunakan bankatakaful iaitu melalui bank-bank dan juga melalui broker. Jadi kita lihat konsep wakalah ini fleksibel bagi memungkinkan kita melakukan banyak perkara.
  4. Sebahagian kos syarikat dan keuntungan dapat dijangka. Apabila menggunakan model wakalah, yuran wakalah atau upfront wakalah fee akan dikenakan. Sumbangan kasar peserta ditolak wakalah fee ini akan dimasukkan ke dalam akaun peserta atau terus dimasukkan ke dalam dana risiko bergantung kepada jenis pelan. Melalui wakalah fee ini, syarikat di awal-awal lagi sudah mendapat pendapatan yang mana boleh digunakan untuk menguruskan perniagaannya dan sebahagiannya dikira sebagai pendapatan kepada mereka. Berbeza dengan model Mudharabah, pendapatan syarikat hanya dapat dikenal pasti apabila berakhirnya tempoh perniagaan.

Walaupun prinsip umum menerima konsep wakalah ini tetapi setiap perwakilan mesti mengikut syarat-syarat sesuatu urusan atau transaksi yang dilakukan. Contohnya perwakilan dalam melakukan jual beli hendaklah mengambil kira rukun dan syarat jual beli. Soal etika juga harus dipelihara. Sebagai agen takaful seharusnya mereka memahami dengan mendalam tentang konsep wakalah, konsep takaful dan juga kontrak-kontrak yang ada di dalamnya.

Kesimpulannya, konsep wakalah ini merupakan satu konsep umum yang mana ianya boleh diaplikasikan dalam pelbagai bentuk. Saya berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak dapat memberikan input tambahan bagi menambah baik artikel ini. Wallahua’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...