Apr 27

Arak dan judi: Masalahnya penguatkuasaan

Tulisan saya pada kali ini bukanlah hendak menyentuh tentang isu kartika. Yang sudah berlaku biarkan berlalu. Pada masa depan apa langkah yang perlu kita ambil.

Saya tertarik untuk menulis tentang isu ini kerana baru-baru ini saya melihat sendiri bagaimana seorang lelaki islam (membawa anak perempuannya yang bertudung) membeli arak secara terbuka di pasaraya. Saya fokuskan lokasi yang saya pergi adalah pasaraya G-Mart di Pekan Gemas. Saya agak terkejut tetapi lelaki berkenaan seolah-olah sudah biasa membeli arak secara terbuka. Isteri berkata “Orang Indon tu bang..” Ya mungkin orang Indonesia tetapi sebagai orang yang Bergama islam perlu patuh pada arahan agama, juga sebagai pendatang perlu patuh kepada undang-undang Malaysia.

Perbuatan meminum arak adalah satu perbuatan yang berdosa dan sia-sia. Selain melanggar larangan Allah Taala, para peminum juga dengan sengaja mendedahkan diri kepada kesan negatif meminum arak. Arak adalah minuman yang memabukkan yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan secara saintifik malah boleh mengakibatkan musibah lain seperti kemalangan jalan raya, membunuh, dan sebagainya. Juga tidak lupa menyebabkan masalah rumah tangga yang kronik.

Arak ini sebenarnya najis yang pekat. Susah hendak dihilangkan kesannya. Bukan hanya berlaku di zaman kita tetapi sejak zaman dahulu kala. Ianya telah sebati dalam kehidupan masyarakat jahiliah atau zaman dahulu kala. Disebabkan ianya begitu sebati dalam kehidupan maka amat sukar hendak membuang tabiat ini. Malah, pengharaman meminum arak ini dilakukan secara berperingkat agar manusia sedikit demi sedikit meninggalkan perbuatan meminum arak.

Tulisan ini bukanlah hendak mengupas tentang hukum meminum arak. Ianya telah pun banyak dijelaskan dalam laman web, blog dan sebagainya. Apa yang ingin dipertikaikan adalah penguatkuasaan. Bagaimana kita hendak membanteras aktiviti ini sedangkan penjualan arak dilakukan secara terbuka dan berleluasa seperti di Pasaraya? Seharusnya pihak pemerintah mengambil tindakan yang keras bagi menangani isu ini. Saya merayu kepada pihak kerajaan supaya bertindak. Haramkan penjualan arak dan jangan jadikan cukai ke atas arak sebagai satu sumber pendapatan kerajaan.

Begitu halnya dengan berjudi. Kegiatan ini sudah sangat berleluasa. Kerajaan seharusnya menutup premis “judi halal” mereka seperti sport too, magnum 4D dan sebagainya. Kini semakin ramai yang berani memperkenalkan diri sebagai sifu sport toto. Mereka tanpa segan silu mempromosikan perkhidmatan ramalan dan teknik-teknik berjudi. Malah antara orang yang mempromosikannya kini adalah orang islam. saya sendiri pernah menerima email daripada seorang wanita bertudung bernama “Fatimah” yang mempromosikan khidmat sifu sport toto ini.

Jika anda pergi ke premis Magnum 4D di pekan Gemas Negeri Sembilan pasti anda akan hairan premis ini sentiasa penuh seperti pejabat pos!. Adakah ini satu keadaan dan budaya yang sihat kepada masyarakat? Sudah tentu tidak. Yang beratur di kaunter judi bukan saja orang cina dan india tetapi yang melayu islam pun sama. Jadi apakah tindakan yang perlu kerajaan lakukan?
Kerajaan perlu tegas dan jangan hanya mencari alasan. Wajib pemerintah menghapuskan premis-premis judi dan arak sebagaimana saya sebutkan di atas. kadangkala nampak tulisan ini agak beremosi namun itulah hakikatnya jika kita berasa tidak puas hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published.