Aug 25

Perkara-perkara yang membatalkan puasa & adab sepanjang Ramadhan

Sepanjang bulan Ramadhan, hendaklah kita memelihara diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang yang boleh membatalkan ibadah puasa yang sedang dijalani. ramadhan-mubarakDifardhukan ibadah puasa kepada umat islam bukanlah bertujuan untuk memberatkan dan menyusahkan tetapi ianya sebagai satu bentuk tarbiyah dan proses latihan untuk melahirkan mukmin yang bertakwa. Walaupun begitu, Allah memberi keringanan kepada mereka yang tidak mampu berpuasa. Dalam Surah al-Baqarah ayat 285 Allah menyatakan:

(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Dengan lain perkataan, bulan Ramadhan adalah bulan untuk mendidik umat islam supaya berdisiplin dan hasilnya dapat dilihat setelah berlalunya Ramadhan. Justeru, bagi menunjukkan ketaatan dan disiplin hendaklah kita menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa.

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
Puasa akan terbatal sekiranya seseorang itu melakukan perkara-perkara berikut:
1.    Makan dan minum dengan sengaja
2.    Memasukkan sesuatu ke dalam rongga anggota tubuh badan.
3.    Muntah dengan sengaja
4.    Pengsan sepanjang hari.
5.    Bersetubuh pada siang hari
6.    Keluar air mani dengan perbuatan tertentu yang disengajakan
7.    Haid dan nifas
8.    Gila
9.    Murtad

ADAB-ADAB KETIKA BERPUASA DALAM BULAN RAMADHAN
Asasnya adab-adab yang dianjurkan adalah untuk memelihara diri kita daripada melakukan atau menghampiri perkara yang membatalkan puasa dan perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ialah:

1.    Menjaga lidah dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengan diri kita.
2.    Mengawal perut dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan memastikan makanan yang dimakan adalah halal lagi bersih.
3.    Berusaha menjaga semua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasa akan lebih sempurna.
4.    Mengurangkan tidur disiang hari. Penuhkanlah masa yang ada dengan amal ibadah.
5.    Apabila berbuka puasa hendaklah makan dan minum secara bersederhana. Elakkan makan dengan gelojoh dan melakukan pembaziran.
6.    Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi tetapi ruang masa yang ada dipenuhkan dengan beribadat kepada Allah.
7.    Mengawal sifat marah

ADAB-ADAB KETIKA BERBUKA PUASA
1.    Berbuka apabila masuk waktu maghrib.

Diriwayatkan dari Umar bin al-khattab RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Apabila malam sudah tiba dari arah sini dan siang telah pergi dari arah sini, sedang matahari sudah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

2.    Mendahulukan makan dari solat Maghrib.

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Apabila makan malam telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat Maghrib, janganlah mendahulukan solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

3.    Mempercepatkan waktu berbuka.

Diriwayatkan dari Sahal bin Sa’ad: Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: Manusia (Umat Islam) masih dalam keadaan baik selama mentakjilkan (menyegerakan) berbuka.
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

4.    Berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (kurma basah) sebelum solat.

Diriwayatkan dari Anas RA, ia berkata: Rasulullah SAW berbuka dengan makan beberapa ruthaab sebelum solat, kalau tidak ada maka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk.
(Hadis riwayat Abu Daud & al-Hakim)

5.    Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”.
(Hadis riwayat al-Baihaqi & Ibnu Khuzaimah)

6.    Membaca doa berbuka puasa. Doanya adalah seperti berikut:

Allahumma laka somtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin

Maksudnya: Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.


7.    Tidak makan dengan sifat tamak dan gelojoh. Seharusnya kita menghayati doa yang kita baca sebelum berbuka yang mana kita dapat berbuka puasa dengan rahmat Allah dan apa yang dimakan adalah rezeki dariNya. Kita perlu bersyukur dengan pemberiannya. Sebaik-baiknya makanlah sekadar yang perlu agar ianya tidak memudaratkan diri dan mengganggu kita menjalani ibadah pada sebelah malam.

8.    Mengelakkan pembaziran dalam penyediaan juada berbuka. Salah satu daripada hikmah difardhukan ibadah puasa adalah supaya kita dapat berjimat cermat. Tidak seharusnya kita berbelanja besar semata-mata untuk menyediakan juadah berbuka. Adalah lebih afdhal sekiranya sebahagian peruntukkan yang ada digunakan untuk bersedekah.

ADAB-ADAB KETIKA BERSAHUR
Bersahur merupakan satu ibadah dan pelengkap kepada ibadah puasa yang dijalani. Berikut adalah beberapa adab dalam menjalani ibadah sahur:

1.    Umat Islam digalakkan supaya bersahur kerana di dalam sahur terdapatnya keberkatan. Umat islam sering melupakannya sedangkan bersahur merupakan suatu tuntutan yang menjadi ibadah.

Diriwayatkan oleh al-Miqdam bin Ma’di Yaqrib, dari Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu semua makan sahur kerana sahur adalah makanan yang penuh berkat”.
(Hadis riwayat an-Nasa’i)

2.    Memberi sedikit ruang masa sebelum menunaikan solat subuh. Ini bagi mengelakkan kita daripada termengah-mengah ketika solat dan mengganggu khusyuk ketika solat.

Diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit berkata: “Kami bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangkit untuk menunaikan solat (subuh). Saya berkata: berapa saat jarak antara keduanya (antara waktu sahur dan waktu subuh? Ia berkata: Selama orang membaca lima puluh ayat”.
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim).

3.    Melewatkan sahur.

Diriwayatkan dari Amru bin Maimun, ia berkata: “Adalah para sahabat Muhammad SAW adalah orang yang paling menyegerakan berbuka dan melambatkan makan sahur”.
(Hadis riwayat al-baihaqi)

4.    Meneruskan makan sekiranya telah masuk waktu subuh. Walaupun begitu ia bukanlah bermaksud boleh makan selepas masuk waktu subuh. Ianya hanya sekadar menyelesaikan apa yang sedang dimakan/minum.

Telah bersabda Rasulullah SAW: “Apabila salah seorang di antara kamu mendengar azan dan piring masih ditangan janganlah diletakkan hendaklah ia menyelesaikan hajatnya (makan/minum sahur) daripadanya”.
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud & al-Hakiem)

Leave a Reply

Your email address will not be published.