Aug 20

Setahun hanya sekali, akan tiba akan pergi

Setahun hanya sekali, akan tiba akan pergi. Itulah Ramadhan, hanya sekali dalam setahun. Ia pasti akan tiba dan pasti akan berlalu pergi. Ramadhan akan menjelma hanya beberapa hari lagi, adakah kita sudah bersedia untuk menemuinya?

ramadhan_by_mustange Atau seperti Ramadhan tahun-tahun yang lepas kita hanya sekadar menahan lapar dan dahaga di waktu siang? Ataupun disebabkan tidak mampu menahan kelaparan, kita meninggalkan ibadah tersebut.

Soalan-soalan ini perlu ditanya pada diri kita dan perlu dijawab sendiri. Kemudian kita nilaikan sama ada kita ini tergolong dalam golongan yang mendapat keuntungan atau kerugian. Allah swt telah berfirman di dalam surah al-baqarah ayat 155 yang bermaksud:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar.

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah pasti akan menguji setiap hambanya. Antaranya ujian dalam bentuk kelaparan melalui ibadah puasa.. Selain itu, Allah juga akan menguji hambanya dengan kematian. Sekiranya kita tidak memenuhkan Ramadhan yang tiba ini sebaik-baiknya, belum tentu kita akan bertemu Ramadhan seterusnya untuk memperbaikinya. Bulan Ramadhan merupakan bulan rahmat dan bulan keampunan. Ianya juga bulan yang penuh dengan dugaan. Disebabkan itu, bagi mereka yang sabar dan taat, mereka akan beroleh kegembiraan. kegembiraan ini dapat dirasai dari dua keadaan iaitu kegembiraan yang penuh makna ketika menyambut Aidil Fitri dan kegembiraan ketika di akhirat iaitu apabila amalan-amalan soleh yang kita lakukan sewaktu bulan Ramadhan akan menambahkan berat pada neraca pahala kita.

Allah telah memfardhukan (mewajibkan) ibadah puasa bukan hanya kepada umat nabi Muhammad SAW tetapi juga umat-umat terdahulu. Dalam surah al-baqarah ayat 183 Allah berfirman yang bemaksud:

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa

Kita tidak mengetahui dengan sebenar-benarnya apakah rahsia disebalik ibadah puasa sehinggakan umat-umat terdahulu juga diwajibkan berpuasa. Tetapi dapat difahami daripada ayat di atas golongan yang berpuasa merupakan mereka yang taat kepada perintah Allah SWT.

Dua amalan utama yang dituntut dalam bulan Ramadhan adalah puasa dan solat Tarawih. Berpuasa adalah kewajipan sementara solat Tarawih adalah pelengkap kepada ibadah puasa. Kedua-dua amalan ini merupakan amalan istimewa yang dituntut sepanjang Ramadhan. Justeru, apabila dilakukan dengan penuh keikhlasan akan mendapat ganjaran pahala berlipat ganda. Bukan itu sahaja, banyak lagi amalan-amalan sunat yang boleh kita lakukan. Menurut Aisyah R.A katanya:

“Rasulullah S.A.W memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadah (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya”.

Sebagai seorang Muslim, kita sepatutnya mencontohi Rasulullah serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadis memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam inilah berlakunya malam Lailatul Qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Sesungguhnya Ramadhan terlalu istimewa. Sempena Ramadhan yang bakal tiba marilah kita sama-sama berazam dan menanamkan tekad untuk menggunakan sebaik-baik kesempatan dan peluang yang ada untuk meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT bukan sahaja dari segi kuantiti malah kualitinya. Mudah-mudahan Ramadhan pada tahun ini menjadi Ramadhan yang terbaik dalam hidup kita. Sebagai satu bentuk peringatan kepada diri sendiri, renung-renungkan sepotong hadis dari Anas RA yang maksudnya:

“ Malaikat Jibril mendoakan Celakalah kepada orang yang apabila berlalunya ramadhan, dosanya tidak diampunkan” Rasulullah mengaminkannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.