Jun 23

Sumber Zakat Harta Yang Diikhtilaf

Berbagai usaha telah dijalankan untuk menambah hasil kutipan zakat. Peringkat pertama adalah dengan menambahkan kempen kesedaran tentang kewajipan zakat serta kepentingannya kepada pembangunan umat Islam

zakat-quran-mta. Kempen dilakukan oleh jabatan Agama didapati memberi kesan tetapi tidak dapat menambah hasil kutipan zakat secara signifikan. Sambutan dnigin tersebut dipercayai berpunca daripada tanggapan masyarakat tentang ketidakcekapan pengurusan zakat oleh Jabatan Agama dalam mengurus agihan wang zakat. Tanggapan sedemikian adalah berpunca daripada beberapa kes seperti berlakunya pecah amanah, wang zakat disimpan didalam bank dan tidak dibelanjakan serta kaedah agihan yang tidak saksama. Sejauh mana kebenaran tentang ketidakcekapan ini berlaku adalah isu yang lain tetapi apa yang pasti ialah tanggapan negatif masyarakat tentangnya telah membawa kesan negatif ke atas pungutan zakat.

Sebagai langkah susulan untuk mengatasi kelemahan ini maka pengurusan kutipan zakat telah di swastakan. Langkah ini telah melahirkan pusat kutipan zakat swasta seperti Pusat Pungutan Zakat (PPZ) serta Pusat Zakat Selangor (PZS). Langkah ini ternyata telah dapat menambah jumlah kutipan dengan banyak. Langkah di atas walaupun telah dapat menambah hasil kutipan secara menggalakkan tetapi dirasakan bahawa masih terdapat lagi bocoran dimana sesetengah individu membayar zakat terus kepada asnaf. Sebagai langkah tambahan untuk mengurangkan bocoran sebanyak mungkin, berbagai kemudahan telah dilakukan seperti memberi rebet cukai pendapatan terhadap zakat yang di bayar, memberi kemudahan tolakan daripada gaji secara bulanan dan membuka kaunter bayaran di Pejabat Pos dan bank. Walaupun berbagai usaha dilakukan namun bocoran tetap akan berlaku kerana individu mempunyai persepsi tersendiri tentang tempat terbaik untuk membayar zakat. Masalah bocoran ini sebenarnya tidak membimbangkan berbanding dengan masalah individu tidak mahu membayar zakat.

Langkah terkini yang boleh dilakukan untuk menambahkan hasil zakat ialah dengan meluaskan sumber zakat (zakat base). Langkah ini bermaksud meluaskan jenis harta yang perlu dikenakan zakat khususnya kepada beberapa jenis harta yang diikhtilaf wajib zakat. Langkah ini wajar dipertimbangkan dan seterusnya dilaksanakan berdasarkan kepada keadaan dimana banyak aktiviti ekonomi moden hari ini memberi hasil yang lumayan. Petani bukan lagi petani sara diri dan penternak juga bukan lagi penternak sara diri, tetapi mereka telah menjadi pengusaha korporat. Setiap usaha dijalankan secara besar dan boleh mendatangkan hasil yang lumayan. Usaha ternakan ayam misalnya boleh mendatangkan hasil jauh lebih lumayan berbanding ternakan kambing, begitu juga dengan usaha perladangan getah dan kelapa sawit, boleh mendatangkan hasil lumayan berbanding padi. Oleh itu walaupun usaha tersebut secara bendanya (ain) tidak diwajiban zakat tetapi mungkin secara illahnya boleh dikenakan zakat. Logik akal boleh mempersoalkan bahawa jika petani padi membayar zakat mengapa tidak dengan pemilik ladang getah dan ladang kelapa sawit sedangkan mereka juga memperolehi hasil yang lumayan ? Begitu juga halnya dengan penternak ayam dan ikan berbanding penternak kambing dan lembu.

Langkah meluaskan asas zakat ini wajar dipertimbangkan berdasarkan kepada alasan kekayaan. Terdapat beberapa nas daripada al-Quran dan hadis nabi saw yang menunjukkan bahawa harta perlu diambil daripada orang kaya dan diberikan kepada orang miskin. Ini menunjukkan bahawa kekayaan boleh dijadikan alasan untuk mengenakan zakat kepada individu. Allah taala berfirman dalam surah al-Hasyar ayat 7:

“ .. Agar peredaran tidak terbatas dikalangan orang-orang kaya diantara kamu sahaja.”

Namun demikian sehingga kini belum dikenalpasti secara tepat apakah jenis harta atau aktiviti ekonomi yang mungkin boleh dikenakan zakat serta apakah alasan atau illah kewajipannya serta bagaimana cara mengira zakatnya. Disamping itu tidak diketahui bagaimanakah persepsi dan penerimaan masyarakat terhadap perlaksanaan langkah tersebut. Adakah masyarakat bersetuju dan bersedia membayar atau sebaliknya. Persoalan di atas perlu dikaji supaya boleh dijadikan asas untuk membuat persediaan kearah pengenaan zakat kepada harta yang diikhtilaf. Tindakan persediaan adalah perlu supaya perlaksanaannya dapat dirancang dengan rapi agar perlaksanaannya tidak memberi kejutan kepada masyarakat.

Perbahasan tentang wajib zakat bagi harta yang diikhtilaf telah dilakukan sejak sekian lama namun tiada perlaksanaan tentangnya secara tepat dan berkesan. Oleh itu isu ini terus dibincangkan terutama dalam zaman ini dimana kegiatan ekonomi kian berbagai dan bertambah kompleks. Persoalan ini sebenarnya lebih releven untuk diperincikan pada masa kini kerana wujudnya kegiatan ekonomi yang berbagai sifatnya. Walaubagaimanapun pandangan fuqaha terdahulu amat berguna untuk dirujuk dan digunakan sebagai panduan. Isu mengenakan zakat kepada harta yang diikhtilaf mula dibincangkan dalam muktamar zakat yang pertama pada 30 April 1984 di Kuwait. Beberapa jenis harta telah disebut sebagai wajib dizakat seperti saham, bon dan harta al-mustaghallat ( Muhammad Kamal ‘Atiyah, 1995). Namun demikian perlaksanaannya sehingga kini tidak diperincikan secara jelas.

Zakat al-mustaghallat

Perkembangan aktiviti perniagaan pada zaman moden ini telah mempelbagaikan lagi hasil harta. Hasilnya lahirlah harta-harta seperti Mustafad dan Mustaghallat yang merujuk kepada sumber harta baru. Walau bagaimanapun kekurangan maklumat dan juga kefahaman yang jelas telah menyebabkan masyarakat masih lagi tidak peka dengan jenis harta tersebut, walaupun hakikatnya ia tidak banyak berbeza dengan jenis zakat yang lain. Zakat diwajibkan ke atas harta tertentu supaya harta dan kekayaan tidak berlegar hanya di kalangan orang kaya sahaja serta dapat memberi keharmonian hidup kepada semua. Harta kekayaan perlu dikongsi oleh semua ahli masyarakat kerana kegiatannya melibatkan alam dan persekitaran yang dimiliki bersama oleh masyarakat. Perlaksanaan zakat telah dapat memenuhi maksud tersebut. Namun demikian, zakat hanya dikenakan ke atas harta tertentu yang dikhususkan dan disepakati (diikhtifak) oleh ulama. Ini bermakna bahawa perkongsian kekayaan hanya berlaku bagi harta tertentu sahaja. Bentuk kegiataan ekonomi masa kini telah berubah, menjadi lebih kompleks dan bersifat komersial. Kegiatannya lebih menjejaskan alam dan persekitaran yang menjadi milik semua. Oleh itu harta yang tidak disepakati wajib zakat (diikhtilaf) seperti perladangan kelapa sawit dan ternakan ayam yang boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan perlu juga dikenakan zakat supaya hasilnya juga dikongsi oleh ahli masyarakat. Perlaksanaannya akan memastikan bahawa semua perolehan akan dikongsi bersama kerana kegiatannya juga telah menggunakan alam dan persekitaran yang menjadi milik semua.

Zakat harta Mustaghallat ialah zakat ke atas harta di mana ia merupakan zakat ke atas hasil yang dijana melalui aset tetap. Harta Mustaghallat pada asalnya tidak tunduk kepada zakat; iaitu harta tetap (harta tidak alih) seperti tanah pertanian untuk pertanian atau rumah dan bangunan yang tidak diniagakan. Pada dasarnya tanah dan bangunan tersebut tiada zakat ke atasnya, tetapi jika diambil manfaat kewangan melalui sewaan atau pajakan dan sebagainya, maka kedua-duanya menjadi. Ia mempunyai dua kategori iaitu Mustaghallat yang menghasilkan barangan dan yang kedua Mustaghallat yang diperoleh hasilnya melalui manfaat dan khidmat. contoh kategori yang pertama itu seperti menternak binatang untuk mendapatkan susunya, ayam untuk mendapatkan telurnya, tanaman komersial (misalnya kelapa sawit, durian dan sebagainya yang tidak termasuk dalam zakat pertanian), atau lebah untuk mendapatkan madunya. Dalam kategori pertama ini zakat dikenakan ke atas hasil yang diperoleh, namun bukan ke atas barangan kerana barangan ini merujuk kepada harta Mustaghallat yang dinamakan aset tetap atau barangan modal. Manakala bagi kategori yang kedua pula iaitu harta Mustaghallat ini diperoleh daripada hasilnya sama ada dalam bentuk manfaat atau khidmat seperti perniagaan sewa kereta, bangunan, rumah, pengangkutan, perhotelan dan sebagainya.

Perbezaan antara barangan Mustaghallat dan Perniagaan

Menurut Dr. Yusuf Qaradhawi, Barangan Mustaghallat merujuk kepada barangan yang kekal ainnya tetapi manfaat atau hasilnya sentiasa bertambah dan berkembang. Ini berbeza dengan barangan perniagaan kerana barangan yang memberi keuntungan dengan cara jual beli.

Isu-isu dan pelaksanaan zakat Mustaghallat

1)    Isu mengenakan zakat kepada harta yang diikhtilaf mula dibincangkan dalam muktamar zakat yang pertama pada 30 April 1984 di Kuwait. Beberapa jenis harta telah disebut sebagai wajib dizakat seperti saham, bon dan harta al-mustaghallat ( Muhammad Kamal ‘Atiyah, 1995). Namun demikian perlaksanaannya sehingga kini tidak diperincikan secara jelas. Ini menyebabkan banyak pihak tidak mengetahui bahawa harta-harta yang mereka miliki diwajibkan zakat akibat daripada kurangnya pendedahan maklumat dan pelaksanaan oleh pihak kerajaan.

2)    Isu sesetengah pihak mengatakan mereka tidak wajib membayar zakat kerana tidak ada nas atau dalil yang jelas mengenai wajibnya zakat al-mustaghallat. Isu persoalan seperti ini boleh dijelaskan melalui peristiwa  ketika Muaz ibn Jabal di hantar ke Yaman dimana Rasulullah menyuruhnya mengambil harta daripada yang kaya dan dibahagi kepada yang miskin Ini membawa erti bahawa orang kaya perlu membayar zakat. Oleh itu zakat boleh dikutip berdasarkan kepada alasan hasil dan kekayaan. Justeru, alasan ini boleh digunakan bagi menjawab persoalan golongan yang enggan membayar zakat.

3)    Persoalan yang seringkali timbul ialah berapakah kadar yang wajib dikenakan zakat ke atas harta Mustaghallat ini? Adakah ia perlu mengikut kadar seperti mana zakat perniagaan atau pertanian?Dr. Yusuf Qaradhawi mempunyai beberapa pandangan berkenaan persoalan ini. Pertama iaitu aset tetap dan hasil dikenakan zakat. Pandangan kedua ialah kedua-duanya langsung tidak dikenakan zakat dan pandangan yang ketiga ialah hanya hasil yang dijana sahaja dikenakan zakat. Terdapat tiga pendapat berkenaan kadar zakat harta daripada pendapatan Mustaghallat iaitu sebanyak 2.5%, 7.5-10% dan 10%. Ada pihak yang menyatakan supaya mengambil asas pertanian dengan mengenakan kadar zakat sebanyak 10% seperti mana yang dilaksanakan di Timur Tengah dan ada juga yang mengatakan kadar sebanyak 2.5% dikenakan seperti mana illahnya dalam perniagaan. Walau bagaimanapun daripada hujah-hujah Dr. Yusuf Qaradhawi ternyata beliau lebih mengutamakan kadar 2.5% iaitu mirip kepada zakat perniagaan.

4)    Lanjutan daripada soalan diatas, timbul pula soalan mengapa zakat al-Mustaghallat dikenakan zakat sebanyak 5% dan zakat perniagaan hanya 2.5% sedangkan kedua-duanya hampir sama dan mendatangkan hasil lumayan? Menurut Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Bin Hj Abdul Majid, zakat al-Mustaghallat dikenakan zakat sebanyak 5% kerana berdasarkan illahnya yang sama seperti zakat pertanian. Hanya hasil sahaja yang dikenakan zakat. Tidak seperti zakat perniagaan, hasil dan aset kedua-duanya termasuk dalam jumlah yang perlu dizakatkan. Zakat 2.5% dikenakan kerana mengambil kira kos operasi perniagaan. Dengan kata lain, semakin tinggi pendapatan syarikat, kos pengurusan dan operasi juga turut meningkat. Tidak seperti zakat al-mustaghallat.

5)    Persoalan lain adalah zakat harta Mustaghallat merupakan zakat yang dikenakan ke atas hasil daripada aset tetap. Namun, adakah ia kenakan ke atas hasil semata-mata atau adakah ia mengambil kira kos operasi sesebuah syarikat itu? Ini kerana harta Mustaghallat selalunya melibatkan industri atau perniagaan yang besar serta dinamik. Oleh itu pastinya ia melibatkan kos operasi yang besar. Menurut Ketua Jabatan Perakaunan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa ia sama seperti zakat lain, zakat harta Mustaghallat juga seharusnya mempunyai penolakan. Penolakan itu melibatkan kos-kos secara langsung dengan perniagaan tersebut termasuklah kos sumber manusia bagi sesebuah syarikat. Penolakan ini dibuat bagi mengelakkan berlakunya dua kali zakat kerana zakat ke atas individu (kakitangan syarikat) akan ditunaikan melalui pendapatan masing-masing. Dengan kata lain, konsep baki bersih setelah ditolak pelepasan sahaja yang diambil kira dalam zakat harta Mustaghallat. Oleh itu, bagi perniagaan besar yang berkonsepkan Mustaghallat, kaedah pengiraannya sama seperti zakat perniagaan di mana bakinya diambil kira berdasarkan kedudukan pada hujung haul.

6)    Isu lain yang timbul ialah apabila sesuatu harta al-mustaghallat itu pemilikannya adalah dalam bentuk perkongsian dengan orang yang bukan beragama islam, maka zakat al-mustgahallat ini hanya dikenakan atas bahagian orang islam sahaja.

Isu-isu berkaitan zakat al-mustaghallat :
Tinjauan ke atas Pusat Pungutan Zakat ( PPZ MAIWP )

Sesi temubual telah dijalankan bersama-beberapa orang kakitangan PPZ untuk mencari isu-isu dan masalah dalam pelaksaan zakat al-mustghallat. Di PPZ, zakat al-mustaghallat tidak dijadikan sebagai satu item dalam jenis-jenis zakat harta. Menurut En Razali Md Jani, Ketua Unit Komunikasi Korporat, kutipan zakat yang dilaksanakan di PPZ adalah lebih bergantung kepada keadaan dan realiti semasa masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kata beliau, zakat pada masa kini bukanlah dilihat daripada jenis harta sahaja bahkan telah berkembang dalam bentuk servis. Jadi pertimbangan yang munasabah terpaksa dilakukan dalam usaha menarik masyarakat untuk membayar zakat. Fokus utama PPZ adalah untuk meningkatkan jumlah zakat. Justeru, mereka menggunakan kaedah-kaedah yang mudah difahami masyarakat supaya masyarakat membayar zakat. Istilah zakat al-mustaghallat tidak digunakan dan semua pendapatan daripada harta al-mustaghallat dikira sebagai zakat pendapatan, zakat perniagaan dan zakat simpanan untuk memudahkan masyarakat membayar zakat. Secara ringkasnya, bolehlah difahami bahawa zakat al-mustaghallat hanyalah digunakan pada nama dan teorinya sahaja tetapi pelaksanaannya menggunakan kaedah lain.

Cogankata PPZ iaitu “PPZ MEMUDAHKAN ANDA MENUNAIKAN ZAKAT” sememangnya bertujuan untuk memudahkan pembayaran zakat oleh masyarakat menyebabkan mereka tidak memperkenalkan zakat al-mustaghallat ini. Tetapi ia masih diaplikasikan dengan cara sesuatu harta itu dijadikan sebagai zakat pendapatan, zakat perniagaan, dan zakat wang simpanan. Beliau memberikan contoh, usaha penternakan penternakan lembu susu tidak dikira sebagai zakat al-mustaghallat kerana tujuan dipelihara lembu itu walaupun tidak dijual, tetapi niat pengusaha adalah untuk menjual susu yang dihasilkan. Maka ia dikategorikan sebagai zakat perniagaan. Isu lain yang wujud disini adalah berkaitan dengan pemilikan. Kebiasaannya perusahaan lembu susu ini dimiliki syarikat besar dan mempunyai ramai pemegang saham yang mahu mendapatkan keuntungan daripadanya. Maka perusahaan ini dikira sebagai perniagaan.

Apabila diajukan soalan kenapakah pelaksanaan zakat al-mustaghallat ini tidak dilaksanakan sedangkan peratusan yang dikenakan adalah tinggi dan mampu menambah pungutan zakat di PPZ, En Razali menjelaskan bahawa PPZ tidak mahu menimbulkan polimik dalam politik kerana pada awal penubuhan PPZ sendiri, banyak polimik telah berlaku. Berkaitan meningkatkan pungutan zakat dengan cara menaikkan kadar peratus zakat harta iaitu menggunakan kaedah zakat al-mustaghallat beliau berkata zakat yang dianjurkan oleh islam merupakan satu dana yang amat unik. Walau banyak mana pun pendapatan seseorang itu, hanya 2.5% sahaja kadar zakat yang dikenakan. Menurut beliau pembayaran zakat adalah sebagai menunaikan hak orang lain dan bukan untuk diri sendiri. Beliau membezakan antara zakat dan cukai yang mana apabila kita membayar cukai, faedahnya akan kembali semula kepada kita dalam bentuk pembangunan infrastruktur yang dapat kita gunakan. Contoh lain adalah kita membayar tol di lebuh raya dan sebagai balasannya kita akan dapat menikmati perjalanan yang selesa di atas jalan tersebut. Berbeza dengan zakat, kadar 2.5% yang dibayar tidak akan memberi pulangan kepada diri kita sendiri tetapi ia adalah untuk keperluan lapan asnaf yang memerlukannya. Sambung beliau, daripada PPZ meningkatkan kadar peratus zakat adalah lebih baik bagi mereka memungut hasil yang tidak wajib zakat seperti kadar bunga atau faedah bank yang akan disalurkan ke baitul mal. Kesimpulan daripada soalan yang diajukan adalah, matlamat PPZ adalah meningkatkan kadar pungutan zakat melalui kesedaran dan kemudahan yang diberi kepada masyarakat dan bukan semata-mata hanya meningkatkannya.

Isu-isu sampingan yang dikupas beliau adalah berkaitan sikap orang islam terutamanya masyarakat melayu yang menjalankan sesuatu perusahaan tetapi tidak mempunyai penyata akaun sendiri yang mengawasi perjalanan dan merekod transaksi wang masuk dan keluar daripada perusahaan mereka. Perekodan amat penting supaya mereka dapat mengenalpasti jumlah sebenar yang perlu dizakatkan selain mengenalpasti prestasi perusahaan mereka. Untuk itu, PPZ telah mengadakan bengkel dan seminar berkaitan dan sasarannya adalah pengusaha-pengusaha perusahaan dan perniagaan. Tambah beliau lagi, masyarakat seringkali lari daripada membayar cukai pendapatan, dan sudah tentu mereka lebih susah atau tidak mengambil peduli tentang kewajipan membayar zakat.

Seterusnya isu berikut pula ditimbulkan. Ia berkaitan dengan persepsi masyarakat tentang PPZ sendiri. PPZ mengambil masa 17 tahun untuk berada dalam keadaan sekarang dan pelaksanaannya cukup berhati-hati. Usaha mereka berhasil apabila masyarakat mulai menerima kewujudan PPZ dan menunaikan zakat. Namun begitu, apabila penerimaan masyarakat tentang kewajipan membayar zakat semakin tinggi, ada pihak menimbulkan polimik dan ada pihak mengatakan tentang kepentingan tertentu. Sekiranya PPZ memperkenalkan zakat al-mustaghallat sudah tentu polimik-polimik seperti itu akan timbul.

Menurut En Ahmad Husni Abd Rahman, Eksekutif Dakwah Zakat di PPZ, semua jenis harta al-mustghallat diletakkan dibawah zakat pendapatan kerana ia lebih dekat dengan masyarakat dari segi kefahaman dan kemudahan. PPZ tidak mahu masyarakat melihat zakat ini sebagai satu perkara yang membebankan. Beliau turut mengetengahkan isu fatwa. Kata beliau, Majlis Fatwa Kebangsaan yang ada sekarang tidak mempunyai kredibiliti yang kuat untuk menggazetkan perkara-perkara baru seperti zakat al-mustaghallat. Justeru, sukar bagi PPZ untuk melaksanakannya.

Sebagai kesimpulannya, hasil daripada pembacaan dan temubual yang dijalankan didapati bahawa zakat al-mustaghallat ini tidak diaplikasikan dan telah diubahsuai kepada zakat-zakat seperti zakat pendapatan, zakat simpanan dan zakat perniagaan sebagai salah satu usaha menggalakkan orang ramai membayar zakat dan tidak menyusahkan masyarakat melakukan ibadah zakat. Diharapkan institusi zakat akan terus berkembang dan melaksanakan peranannya kepada umat islam walaupun sesetengah daripada item-item dalam zakat tidak dilaksanakan.

Senarai rujukan :

Kertas kerja :
1.    Sanep Ahmad, Hairunnizam Wahid, Persepsi Dan Kesedaran Terhadap Perluasan Sumber Zakat Harta Yang Diikhtilaf Kertas kerja dibentangkan di Seminar Halatuju Zakat Korporat Di Alaf Baru, Anjuran Kumpulan Kajian Zakat Fakulti Pengajian Islam UKM. 7-8 Julai 2004, ESSET, Kajang Selangor

2.    Sanep Ahmad, Hairunnizam Wahid, Kesediaan Berkongsi Kekayaan dan Kebahagiaan: Kajian Kes Bayaran Zakat Bagi Harta yang Diikhtilaf, Kertas kerja dibentangkan di Persidangan Kebangsaan Ke-2 PPSPP 5-6 September 2005

Majalah :
1.    Majalah Asnaf Keluaran 4/2005 terbitan Pusat Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor

Temubual :
1.    En. Razali Md Jani, Ketua Unit Komunikasi Korporat Pusat Pungutan Zakat ( PPZ MAIWP )
2.    En. Ahmad Husni Abd Rahman, Eksekutif Dakwah, Zakat Pusat Pungutan Zakat ( PPZ MAIWP )
3.    Prof. Dato’ Dr. Mahmood Zuhdi Bin Hj Abdul Majid, Pensyarah di Jabatan Syariah Fiqh Dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (15 Mac 2007)

Laman web :
1.    http://www.tamilislam.com
2.    http://www.zakat.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published.