BAHAGIAN II : PERBAHASAN KEDUA : Perbincangan Insurans Yang Diharuskan

TOPIK I : Jenis² Insurans yang Diharuskan

Walaupun pendapat mengharamkan insurans adalah pendapat majoriti, perlu diingatkan bahawa pendapat tersebut adalah merujuk kepada insurans yang berasaskan perniagaan (Tijari) yang mempunyai hujah-hujah pengharaman yang tersendiri. Akan tetapi selain daripada insurans perniagaan kebanyakan ulamak mengharuskan beberapa bentuk insurans melihat kepada maslahah dan kebaikan yang ada. Di antara bentuk-bentuk insurans tersebut ialah:

i. Insuran Dzati : Insuran jenis ini Ialah satu bentuk insuran terhadap jaminan diri sendiri agar dapat menampung sebarang kerugian yang dihadapi dengan cara memotong sejumlah wang dari pendapatan bulanan dan disimpan untuk kegunaan apabila berlaku bencana atau kerugian. Hukumnya adalah harus. (15)

ii. Insurans Ijtimaie’: Insurans yang dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah sesebuah negara ini sebagai memenuhi maslahah kepada pegawai-pegawai dan para pekerja yang berkhidmat dengan kerajaan. Kerajaan memberikan kebajikan kepada para pegawai dan pekerja-pekerja dari sudut mengurangi bebanan perubatan, musibah sakit, lemah dan tua. Di antara sebab saluran kebajikan ini adalah seperti kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan rawatan, hilang keupayaan, pencen dan sebagainya. Antara bentuk-bentuk yang dilaksanakan ialah termasuklah KWSP, Bantuan Jaminan Sosial dan Insurans Perubatan. Hukumnya adalah harus.(16)

iii. Insurans Tabaduli atau Ta’awuni: Insuran jenis ini dilaksanakan oleh badan-badan atau persatuan dengan berkerjasama menjamin atau membantu kalangan ahli yang ditimpa musibah atau menghadapi risiko. Jenis ini jelas menunjukkan peranan tujuan dan matlamat insurans dari sudut mengeratkan hubungan ukhwah dan pertautan untuk saling bantu-membantu sesama anggota masyarakat. Setiap anggota memainkan dua peranan sebagai pemberi dan penerima.

Bentuk yang biasanya dilaksanakan ialah:

[Hukumnya adalah: Sunat.(17) dan ada pendapat lain yang menyatakan: Harus.(18)]

a. Insuran Bantuan Musibah

Contoh: Bantuan yang diberikan kepada ahli yang ditimpa musibah seperi kebakaran, kecurian dan sebagainya.

b. Insuran Bantuan Awam

Contoh: Bantuan kepada keluarga ahli seperti bantuan kewangan kepada keluarga ahli selepas kematian atau kemalangan hilang kudrat beliau. Biasanya dilaksanakan oleh yayasan tertentu.

c. Insuran Bantuan Kesihatan

Contoh: Bantuan bayaran perubatan untuk meringankan bebanan yang dihadapi.

d. Peti Keluarga

Contoh: Perkahwinan, dermasiswa dan sebagainya.

iv. Insurans Khairi: Insurans jenis ini dita’arifkan sebagai hampir serupa dengan perlaksanaan sistem zakat, Nafkah kerabat, ‘Awaqil, Wasiat, Wakaf, Kafarat, Nuzur dan sebagainya di dalam Islam. Antara tujuannya ialah untuk membantu golongan fakir. Ini berbeza dengan sistem insurans Tabaduli atau Ta’awuni kerana sistemnya adalah bertepatan dengan sistem insurans secara penta’arifan perundangan. Sistem insurans Khairi pula tidak berkaitan dengan pentakrifan tersebut kerana tiada caruman tetap yang ditentukan. Atau dengan lain perkataan insurans khairi adalah pemberian tanpa pulangan. Namun insurans jenis ini jarang kedapatan di dalam suasana masyarakat walaupun ianya amat-amat menitik beratkan konsep saling bntu-membantu di antara golongan kaya dan miskin atau fakir. Justeru lebih-lebih lagilah dituntut akan perlaksanaannya di dalam masyarakat.

TOPIK II : Dalil dan Hujah² yang Dikemukakan

Kajian ini akan mengemukakan beberapa dalil yang akan menunjukkan keharusan insurans seperti bentuk-bentuk di atas di mana prinsip yang ada di dalam perlaksanaannya adalah bertepatan dengan perlaksanaan sistem takaful Islam. Justeru antara dalil-dalil yang berkaitan ialah(19):

i. Sesungguhnya akad insurans jenis-jenis di atas tergolong di dalam akad tabarru’ yang menghendaki saling bantu-membantu sehingga mampu mengurangkan beban dan kerugian akibat musibah yang menimpa. Malahan pula sistem ini bukanlah bertujuan perniagaan dan mengaut keuntungan, tetapi tujuan sebenarnya adalah membantu mangsa.

ii. Tidak terdedah kepada pengurusan yang mencampuri amalan riba yang diharamkan secara qati’e.

iii. Tidak menyebabkan keraguan terhadap para pencarum tentang apa yang dicarum atau disumbangkan untuk menentukan apakah kadar yang akan diterima daripada manfaat penyertaan mereka. Ini kerana penyertaan mereka adalah sebagai satu amal tabarru’ dan bukan bertujuan untuk mencambahkan kewangan dan mencari keuntungan.

iv. Insurans jenis ini juga bertepatan dengan saranan untuk saling bantu-membantu seperti mana mafhum firman Allah SWT di dalam Al-Quran: Dan bertolong-menolonglah ke atas perkara kebaikan dan ketaqwaan…” serta sabda Rasulullah SAW di dalam hadisnya: Orang-orang beriman itu seumpama sebuah bangunan, sebahagian memperkukuhkan sebahagian yang lain.

Demikianlah beberapa dalil dan hujah yang dikemukakan sebagai menyatakan keharusan insurans yang berasaskan saling bantu-membantu di dalam Islam di mana prinsip asasnya adalah Tabarru’ dan Ta’awun.

http://fang.bloghi.com/2005/12/15/bahagian-ii-perbahasan-kedua-perbincangan-insurans-yang-diharuskan.html

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *