Jan 05

Gabungan bank Islam kuasai pasaran antarabangsa

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Bank Islam tempatan disarankan bergabung untuk menjadi sebuah bank Islam mega yang memiliki saiz modal yang besar dan mampu menawarkan khidmat pembiayaan yang lebih meluas.
Ketua Pegawai Eksekutif AFB, Datuk Mohamed Azahari Kamil berkata, langkah itu seiring dengan usaha negara untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.

Menurutnya, melalui penggabungan tersebut, bank Islam mega itu bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pelanggan domestik tetapi juga ke luar negara malah mampu menarik pelaburan berpotensi dari seluruh dunia.

”Kita tidak boleh menjadi ‘jaguh kampung’ tetapi perlu menjadi ‘hero’ antarabangsa yang mana melalui penggabungan itu nanti, Malaysia akan terkenal sebagai pusat kewangan Islam yang bakal menarik lebih banyak dana dari pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Malaysia memiliki dua buah bank Islam tempatan iaitu Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) yang telah beroperasi sejak 25 tahun lalu dan Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) yang mula beroperasi pada tahun 1999.

Mohamed Azahari menjelaskan, sekiranya bank-bank berkenaan tumbuh hanya sekadar berasaskan kepada pertumbuhan organik, maka konsep itu tidak praktikal lagi kini, apatah lagi dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang sukar pada tahun 2009.

”Ini adalah masa yang paling sesuai (untuk bergabung) kerana dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang sukar nanti, kebanyakan modal pasaran bank-bank akan terjejas.

”Sekiranya ekonomi pulih semula, cara terbaik untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan bank-bank tersebut adalah melalui penggabungan atau pengambilalihan,” terangnya.

Azahari optimis bahawa program penggabungan yang melibatkan bank-bank Islam tempatan akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini.

Institusi perbankan tempatan sebelum ini telah melalui satu proses penggabungan yang besar ekoran krisis kegawatan ekonomi yang melanda rantau Asia pada tahun 1997 dan 1998 dengan melibatkan 55 buah bank untuk dikecilkan saiznya kepada hanya 10 kumpulan perbankan.

Kini, kumpulan perbankan di Malaysia adalah Malayan Banking Bhd., CIMB Bank, RHB Bank Bhd., Public Bank Bhd., Ambank Bhd., Hong Leong Bank Bhd., Affin Bank Bhd dan EON Bank Bhd.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Pegawai Ketua Eksekutif Maybank Islamic, Ibrahim Hassan telah menyuarakan pendapatnya bahawa institusi kewangan Islam di Malaysia mungkin akan disatukan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Ibrahim, peserta kewangan Islam secara amnya kecil dari segi modal dan saiz aset dan institusi itu perlu disatukan bagi mendapatkan taraf yang sama dengan peserta konvensional.

Ditanya mengenai kedudukan bank -bank berkenaan yang kini lebih terjamin kerana menerima suntikan pelaburan dari luar, Mohamed Azahari berkata, ia hanya sekadar menyokong pertumbuhan bank berkenaan tetapi masih tidak mencukupi untuk mengukuhkan kedudukannya di peringkat rantau Asia Tenggara.

Mengenai kewajaran Bank Negara Malaysia (BNM) meluluskan lebih banyak lesen untuk bank Islam asing beroperasi di negara ini, beliau berkata, apa yang penting kini bukan dilihat pada aspek kuantiti tetapi kualiti operasi bank-bank Islam asing yang beroperasi di negara ini.

”Sekiranya diluluskan lebih banyak lesen untuk bank Islam asing beroperasi di negara ini pastinya ia akan menyebabkan persaingan lebih sengit tetapi persoalannya di sini, adakah pasaran kita benar-benar sudah bersedia menghadapi persaingan tersebut,” terangnya.

Selain itu, Mohamed Azahari berkata, kerajaan perlu meningkatkan usaha untuk menggalakkan lebih ramai graduan dalam bidang perbankan Islam, ekonomi Islam dan juga undang-undang syariah bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja mahir dalam bidang perbankan Islam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Leave a Reply

Your email address will not be published.