Dua lesen baru urus dana Islam

KUALA LUMPUR 18 Nov. _ Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meluluskan dua lagi lesen baru syarikat pengurusan dana Islam kepada Reliance Asset Management, pengurus dana terkemuka India dan Global Investment House yang berpusat di Kuwait.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis pelancaran Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) kelima, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Pesisir Pantai Labuan (LOFSA), Datuk Azizan Abd. Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Develeopment Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin.

Forum lima hari yang bermula semalam dianjurkan oleh Pusat Kajian dan Latihan (CERT), LOFSA dan HDC di samping Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Dow Jones Islamic Indexes, Institut Kewangan Islam Antarabangsa (IIIFC) dan Hisham Sobri & Kadir.

Sambil menyatakan kelulusan itu merupakan tambahan kepada yang sedia ada, Najib menambah, SC juga sedang mengkaji beberapa permohonan yang dikemukakan oleh beberapa firma terkemuka.

Sementara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Zarinah Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada majlis itu berkata, selain kelulusan terbaru, SC juga meluluskan permohonan tiga lagi lesen syarikat pengurusan dana antarabangsa iaitu Kuwait Finance House (M) Bhd., DBS Asset Management dan CIMB Principal Islamic Asset Management.

Beliau berkata, pihaknya mengambil kira pelbagai faktor sebelum memberikan kelulusan termasuk operasi yang bakal dibangunkan, pengalaman dan kemahiran pemohon.

Najib dalam ucapannya menambah, pelbagai strategi telah dilaksanakan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat global bagi menjalankan aktiviti pengurusan dana Islam.

Katanya, SC telah bergiat aktif dalam membangunkan rangka kerja dengan institusi kewangan dan bekerjasama dengan pengurus dana antarabangsa terkemuka bagi menggalakkan mereka menjalankan operasi di negara ini.

”Saya bangga memaklumkan bahawa strategi ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam tempoh yang singkat dan hasilnya, beberapa institusi kewangan utama telah beroperasi di Malaysia,” jelasnya.

Najib berkata, syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia seperti Prudential juga telah menjadikan negara ini sebagai pusat serantau untuk aktiviti pengurusan dana Islam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *