Nov 16

Pengertian dan Konsep Zakat

Pengertian zakat

Dalam bahasa arab, “zakat” secara umumnya bererti pertambahan. Berasaskan pengertian umum ini, ia kemudiannya digunakan bagi banyak pengertian seperti cerdik, jenih, berkat, kepujian, bersih dan lain-lain.

Sebagai salah satu istilah dalam pengajian hukum atau “fiqh” zakat bererti mengeluarkan kadar tertentu dari harta yang tertentu bagi faedah golongan yang berhak menerimanya sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Selain itu, perkataan zakat ada disebut dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu istilah tunggal bagi sesuatu pengertian kerana al-Quran dan al-Sunnah juga menggunakan perkataan “sedekah” bagi pengertian yang sama. Dalam al-Quran misalnya Allah telah berfirman dalam surah At-taubah ayat 103 yang bermaksud:

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak Yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Dalam konteks penggunaan biasa, zakat dari segi bahasa didefinisikan sebagai “bersih”, “suci”, dan “berkembang”. Pengertian “bersih” dan “suci” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada sifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri dari sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya. Firman Allah dalam surah Al-baqarah ayat  83 :

Dan (ingatlah Wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia Dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan Katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan Yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang Yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

Kedudukan zakat dalam islam

Sebagaimana yang diketahui ramai, zakat adalah salah satu daripada rukun islam yang lima. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud :

“Islam dibina atas lima : Bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang,  menunaikan zakat, berpuasa pada bulan ramadhan dan haji ke baitullah bagi sesiapa yang mampu mengunjunginya”

Hadis tersebut jelas memberi erti bahawa zakat adalah rukun islam yang ketiga, iaitu selepas syahadah dan sembahyang. Rukun bererti tunggak atau asas utama pembinaan sesuatu. Ini bererti, tanpa mengeluarkan zakat, seperti juga tanpa sembahyang, berpuasa dan sebagainya. Ia bermakna slam seseorang tidak berada dalam keadaan yang kukuh atau sebenarnya jika dia meninggalkan zakat

Al-Syaukani berpendapat bahawa kewajipan berzakat merupakan satu perkara yang sangat jelas dalam syariah islam dan tidak perlu kepada apa-apa hujah lagi. Oleh sebab itu, mereka yang mengingkarinya dihukumkan kafir. Ibn Qudamah pula berkata sesiapa yang mengingkarinya disebabkan jahil kerana baru memeluk islam atau hidup terpisah daripada masyarakat islam di daerah yang terlalu jauh, maka dia perlu diberitahu tentang kewajipannya, dan dia tidak dihukumkan kufur kerana ada sebab yang munasabah. Tetapi jika dia seorang muslim yang hidup di dalam negara islam maka dia dihukumkan murtad. Oleh itu, dia hendaklah disuruh bertaubat sebanyak tiga kali. Sekiranya enggan hendaklah dibunuh.

Dari sudut ekonomi pula, zakat adalah ciri terpenting sistem fiskal islam dengan mekanisme pengagihannya yang tersendiri. Zakat dengan bentuknya yang tersendiri merupakan alat dasar fiskal yang dapat menangani masalah pengagihan yang merupakan salah satu daripada objektif ekonomi yang penting. Disamping itu, zakat secara automatik boleh menstabilkan jumlah pendapatan dan guna tenaga.

Kewajipan mengeluarkan zakat

Banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut tentang kewajipan  berzakat. Antara ayat-ayat berkenaan adalah firman Allah dalam surah al-baqarah ayat 110 :
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua Yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat Segala Yang kamu kerjakan

Dalam ayat diatas, Allah secara jelas menyuruh umat islam mengeluarkan zakat, sepertimana juga mereka disuruh sembahyang. Mengikut para fuqaha, ungkapan suruhan memberi erti wajib kecuali ada asas yang memberi faham ia bermaksud sunat atau harus.

Kepentingan zakat

Dalam banyak ayat al-Quran yang disebutkan, pembayaran zakat dinyatakan bersama-sama dengan mendirikan sembahyang. Ini menunjukkan betapa pentingnya tanggung jawab ini dalam islam. Ia diberi penekanan yang sama beratnya dengan ibadat sembahyang dan rukun islam yang lain sehingga tidak menunaikannya dianggap tidak beriman kepada kitab suci al-Quran. Kepentingan inilah yang telah meletakkan zakat sebagai antara perintah agama yang tertinggi dan menjadikan orang-orang islam insaf bahawa bayaran ini adalah mudah, murah, dan bukan paksaan terhadap mereka. Semakin tinggi keimanan orang-orang islam, semakin kuranglah peluang bagi mereka mengingkari zakat. Zakat merupakan sejenis bayaran wajib yang mesti dibayar oleh setiap anggota masyarakat islam yang memenuhi syarat-syarat yang tertentu walau dalam keadaan apa sekalipun. Tabung zakat ini digunakan untuk membantu ahli masyarakat yang kurang berupaya. Zakat membentuk sebuah masyarakat yang saling bekerjasama, bertindak sebagai syarikat insurans dan tabung simpanan masyarakat islam. Setiap ahli masyarakat yang memerlukan bantuan akan dibantu dari tabung ini. Oleh itu, ia bertindak sebagai modal tambahan yang dibiayai oleh masyarakat untuk membantu orang-orang yang menganggur, orang-orang miskin yang memerlukan, anak-anak yatim, balu-balu, orang-orang cacat, orang-orang sakit, dan lain-lain. Ia merupakan insurans sosial yang penting bagi setiap anggota masyarakat islam yang menjamin masa hadapan yang cerah bagi mereka.

Ia merupakan satu tabung insurans yang sumbangannya hanya datang daripada orang-orang kaya. Jika pada hari ini kita kaya, kita mestilah memberi sumbangan kepada tabung ini. Orang-orang miskin dan memerlukan akan mendapat manfaat dari tabung ini pada hari ini, tetapi jika kita atau anak-anak kita menghadapi kesusahan pada hari esok disebabkan oleh perubahan dunia ini, kita atau anak-anak kita juga yang akan mendapat manfaat darinya. Jelaslah bahawa zakat memenuhi kedua-dua tujuan iaitu untuk pembersihan jiwa yang merupakan tanggung jawab terhadap agama dan sebagai insurans sosial bagi semua risiko, hasil dari sumbangan secara kolektif.

Senarai rujukan :

Buku :
1.    Afzal-ur-rahman, Doktrin Ekonomi Islam, kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan pustaka, jld 111.hlm.184-185
2.    Laporan zakat 2005, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
3.    Mahmood Zuhdi Abd Majid, Pengurusan Zakat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm.3
4.    Panduan Zakat Di Malaysia, Kuala Lumpur : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, hlm.1
5.    Surtahman Kastin hasan, Sanep Ahmad, Ekonomi islam Dsar dan Amalan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm.276

11 comments

Skip to comment form

    • syafinas on July 20, 2009 at 11:22 am

    Salam. saya pelajar sarjana sedang menjalankan kajian tentang Keberkesanan Pengagihan Zakat Kepada Asnaf Fakir dan Miskin. Saya ingin mendapatkan pandangan ustaz tentang rangkuman perkara-perkara yang saya boleh masukkan di dalam penyelidikan ini. Terima kasih.

  1. salam

    Syafinaz, saya cadangkan awak rujuk tulisan Dr Patmawati Ibrahim, pensyarah kanan Jabatan Syariah & Ekonomi UM. Beliau banyak menulis tentang keberkesanan agihan zakat dan tentang ekonomi pembangunan.

    Project paper saya semasa belajar dulu juga berkaitan zakat. saya rasa boleh membantu. boleh dapatkan di library UM. Tajuknya kalau saya tak silap Potensi Penubuhan Tabung Zakat Malaysia : Satu Analisis.

    Secara peribadi saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang boleh dimuatkan dalam kajian syafinaz. Antaranya:

    1. Metodologi agihan zakat (boleh dapatkan idea dari project paper saya)
    2. Kajian semula tentang had kifayah zakat
    3. Perbandingan antara garis kemiskinan Negara dan had kifayah zakat
    4. Soal efectiveness sesebuah organisasi yang menguruskan zakat
    5. Bentuk agihan zakat. (kena rujuk hukum & praktis)
    5. Peranan pembayar zakat perniagaan (syarikat korporat) yang lebih cenderung untuk membayar zakat secara terus.
    6. Soal penipuan & kesempatan seperti komisen kepada introducer dll. Saya pernah mengalami sendiri beberapa kes di mana saya telah mengusahakan permohonan dari beberapa buah organisasi antaranya sebuah rumah anak yatim di cheras. alhamdulillah saya berhasil membantu dengan berjaya mendapatkan sumbangan zakat sebanyak RM100 ribu dari sebuah syarikat korporat. Malangnya ada beberapa pihak mengambil kesempatan dengan mengambil komisen sehingga 20% daripada RM100 ribu. Perkara ini sangat serius dan sememangnya memberi kesan kepada keberkesanan agihan zakat.

    itu saja komen saya sekadar yang terlintas dalam fikiran saya ketika ini. Jika ada soalan lagi boleh kemukakan. Wallahua’lam

    • syafinas on August 4, 2009 at 9:24 am

    terima kasih.penerangan ustaz dapat membantu kajian saya. Insyaallah saya akan cuba cari projek paper yang pernah ustaz tulis sebagai rujukan kajian saya. terima kasih atas kerjasama ustaz.

    • syihab on February 7, 2011 at 3:20 pm

    salam ust. .mf.tumpang bertanya .. di mana byk rujukan tentang zakat . sy nk wat tajuk had al-kifayah dalam asnaf zakat ? harap ust bleh bntu
    jazakallh

  2. Salam Syihab, maklumat tentang had kifayah boleh di dapati di Perpustakaan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Banyak kajian sudah dilakukan. Antara penyelidik yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah Lembaga zakat selangor boleh ditemui di sana. Dr Patmawati Ibrahim.

    • shahfika on January 20, 2012 at 11:24 am

    assalam..sy nk tnye adakah agihan zakat yang diberikan bagi tujuan rawatan perubatan sama ada bagi orang miskin atau kaya menepati objektif pensyariatan zakat dalam islam

    • fendy ahmad zuraraidy on October 21, 2012 at 1:19 pm

    sya nak tau tentntag zakat lbh dlm lg ? ada yg bsa bntu kh ?

  3. silakan terus membaca di situs ini

    • azmeer on October 28, 2013 at 2:55 pm

    Assalamualaikum ustaz… zakat adalah wajib untuk org islam… bagaimana pula dengan keikhlasan… adakah perlu bayar zakat dengan ikhlas. dan bagaimana hukumnya seseorang bayar zakat tetapi tidak ikhlas. boleh kah kita membayar zakat secra lebih sebagai contoh bayar zakat dengan pengiraan cukai pendapatan dimana lebih tinggi dari 2.5%. tq

    • azmeer on October 28, 2013 at 2:55 pm

    Assalamualaikum ustaz… zakat adalah wajib untuk org islam… bagaimana pula dengan keikhlasan… adakah perlu bayar zakat dengan ikhlas. dan bagaimana hukumnya seseorang bayar zakat tetapi tidak ikhlas. boleh kah kita membayar zakat secra lebih sebagai contoh bayar zakat dengan pengiraan cukai pendapatan dimana lebih tinggi dari 2.5%. tq

    • nur on July 5, 2015 at 11:06 am

    Assalamualaikum..ustaz,,boleh sy thu,,mana nk cari maklumat pasal kaitan zakat dgn al-thabat al-murunah ?

Leave a Reply

Your email address will not be published.