Nov 13

Ekonomi wakaf – Bahagian keenam

PENULISAN DAN TOKOH

Penulisan berkaitan wakaf bukan sahaja ditulis oleh sarjana ekonomi tetapi telah ditulis ramai sarjana lain. Para fuqaha’ membincangkan persoalan wakaf bersama dengan perbincangan wasiat dan harta pusaka iaitu sebahagian daripada perbincangan undang-undang keluarga islam. Adalah didapati bahawa tidak ada seorang pun yang boleh dikatakan benar-benar terkenal atau masyhur dalam wakaf ini pada masa kini. Walaupun bagitu, banyak tokoh-tokoh yang memperkatakan dan menulis berkaitan wakaf adalah mereka yang faqih dalam ilmu fiqh dan undang-undang serta mereka yang arif dalam ekonomi. Mereka ini memandang wakaf dari sudut undang-undang dan aspek kepentingan ekonomi.

Apabila bercakap tentang tokoh wakaf di Malaysia, kita tidak dapat lari daripada menjurus kepada mereka yang dianggap tokoh diinstitusi-institusi tertentu. Antara mereka yang terkenal adalah Pengarah Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) iaitu YBhg. Datuk Haji Mohd Nakhaie bin Haji Ahmad yang seringkali membicarakan mengenai wakaf dan mewujudkan saham-saham wakaf tertentu contohnya skim saham wakaf untuk pembinaan rumah anak-anak yatim. Antara nama besar lain adalah Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim yang memperkenal dan mewujudkan Klinik dan pusat dialisis An-Nur di Johor Bahru, Pasir Gudang, dan Batu Pahat dibawah naungan Johor Corporation yang berasaskan kepada konsep wakaf. Johor Corporation menerusi Masjid An-Nur KOTARAYA dan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), telah menubuhkan Klinik Waqaf An-Nur, iaitu sebuah pusat kesihatan yang berasaskan konsep waqaf. Johor Corporation telah mewaqafkan Lot 85,86 dan 87 tingkat 3 Plaza KOTARAYA bersebelahan Masjid An-Nur Johor Bahru sebagai tapak klinik dengan kos pembangunan keseluruhan sebanyak RM425,160.20. Jumlah ini juga merupakan sebahagian sumbangan Johor Corporation kepada  aktiviti-aktiviti waqaf anjuran Klinik Waqaf An-Nur KOTARAYA. Sehingga Disember 2000, Klinik Waqaf An-Nur KOTARAYA telah memberi perkhidmatan kepada lebih 9,000 orang pesakit. Secara umumnya Klinik Waqaf An-Nur memberikan perkhidmatan am kepada pesakit yang memerlukan perundingan (consultation) dan juga rawatan perubatan tanpa mengira bangsa dan agama dengan kadar bayaran yang minimum.Selain daripada rawatan klinik, terdapat juga perkhidmatan dialisis khusus untuk pesakit-pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan di Pusat Dialisis Klinik Waqaf An-Nur. Pusat dialisis ini terletak bersebelahan dengan Klinik Waqaf An-Nur KOTARAYA.
Kedua-dua individu tersebut dilihat sebagai mereka yang menggerakkan wakaf di bawah bidang kuasa dan institusi yang mereka wakili.

Bagi bidang penulisan berkaitan ilmu wakaf ini, antara nama yang boleh disebutkan disini adalah Dr. Siti Mashitoh Bt Mahamood iaitu pensyarah di Jabatan Syariah Dan Undang-undang Universiti Malaya. Beliau telah menulis buku berkaitan wakaf di dalam dua versi iaitu dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Beliau juga banyak menulis artikel dan membentangkan kertas kerja berkaitan wakaf. Selain itu, pensyarah lain dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang menulis tentang wakaf adalah Prof. Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Hj Abdul Majid. Antara hasil tulisannya bertajuk “Konsep Dan Amalan Wakaf Di Malaysia” yang telah dihimpunkan dan diterbitkan dalam sebuah buku berjudul “Konsep Dan Pelaksanaan Wakaf Di Malaysia” terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Antara nama lain dan juga penyumbang artikel dalam buku tersebut adalah Nik Mustapha Hj. Nik Hassan iaitu Penolong Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), dan Prof. Tan Sri Datuk Ahmad Mohamed Ibrahim, Dekan Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber-sumber penulisan buku dan artikel jurnal di peringkat antarabangsa dan tempatan adalah seperti berikut :

Buku
1.    Ani, Muhammad Syafiq al- (1965), al-Ahkam Awqaf, Baghdad : Matba’ah al-Irsyad
2.    Kabisi, Muhammad Ubayd al- (1977), Ahkam al-Waqf fi al-syar’iah al-islamiyyah, j.1, Baghdad : Matba’ah al-Irsyad
3.    Ismail Omar (1999), Pelaburan Harta Tanah, Kuala Lumpur  : Dewan Bahasa Dan Pustaka
4.    Mahmood Zuhdi Hj Abd Majid (2000), Wakaf dan Pelaksanaannya Di Malaysia, Terengganu : Yayasan Islam Terengganu
5.    Osman Sabran (2002), Pengurusan Harta Wakaf, Johor : Universiti Teknologi Malaysia.
6.    Siti Mashitoh Mahamood (2001), Bagaimana Membuat Wakaf (How to Constitute Wakaf), Kuala Lumpur: Syariah & Law Department, Academy of Islamic Studies, University of Malaya
7.    _______________ (2002), Pelaksanaan Istibdal Dalam Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia, (The Implementation of Istibdal in the Development of Wakaf Property in Malaysia), Kuala Lumpur: Syariah and Law Department, Academy of Islamic Studies, University of Malaya
8.    ______________(2006), Waqf in Malaysia: Legal and Administrative Perspectives, Kuala Lumpur: UM Press
9.    ______________(2006) (ed.), Harta Amanah Orang Islam: Perspektif Undang-undang dan Pentadbiran, Kuala Lumpur: UM Press

Artikel jurnal
1.    Mohd Saharudin Bin Shakrani, Mohd Saifoul Zamzuri Noor, Jamal Ali (2003), “Tinjauan Isu-isu Yang Membataskan Penggunaan Wakaf Dalam Pembangunan Ekonomi Ummah di Malaysia” , Jurnal Syariah, jil. II Bil.2, Julai 2003, hh.73-98
2.    Siti Mashitoh Mahamood (2001), “The Legal Principles of Waqf: An Analysis”, Jurnal Syariah, 9:2 (2001) 1-12.
3.    .___________ (2004), “Pelupusan Tanah Di Bawah Pegangan Pajakan (Leasehold) Dalam Kanun Tanah Negara 1965: Implikasi Terhadap Status Tanah-Tanah Yang Diwakafkan” (Disposal of Land Under Leasehold in the National Land Code 1965: Its Implication on the Status of Wakaf Land), Jurnal Penyelidikan Islam, Bil.17, 2004/1425H, pp.91-108

Persidangan
1.    Singapore International Waqf Conference 2007, The Fullerton Hotel,Singapore, 6-7 March 2007
2.    Konvensyen Wakaf Peringkat Kebangsaan 2006, Hotel Legend, Kuala Lumpur, 12-14 September 2006
3.    The Fulfillment Of The Founders’ Intention In The Formation Of Wakaf Property In Malaysia: An Analysis On The Current Legal Constraints And Other Impediments 7th Conference of Asia-Pacific Sociological Association (APSA): Human Security in the Asia Pacific Region Salaya Campus, Mahidol University, Bangkok 16-18 Disember 2005
4.    Wasiat & Wakaf: Konsep Dan Amalannya Di Malaysia Seminar Pengurusan Harta Islam (Pusaka, Wasiat, Hibah & Waqaf) A.B Sidek & Associates di NIOSH, Bandar Baru Bangi 15 Oktober 2005
5.    Pembangunan Dana Wakaf Dari Perspektif Syariah dan Undang-Undang, Serta Aplikasinya di Malaysia Seminar Dana Wakaf Peringkat Negeri Pulau Pinang Bilik Auditorium, Dewan Milenium, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. 17 July 2005
6.    Harmonisation of the Malaysian National Land Code 1965 and the Syariah Law of Wakaf: Recommendations for Amendments International Conference on Harmonisation of Shariah and Civil Law Pan Pacific Hotel, KL29-30 June 2005

Institusi wakaf terus berkembang di Malayis dengan diadakan Konvensyen Wakaf Peringkat Kebangsaan 2006. Bertempat di Hotel Legend, Kuala Lumpur, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JWZH) dengan kerjasama semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) telah mengadakan Konvensyen Wakaf 2006. Konvensyen selama tiga hari ini, mensasarkan beberapa objektif untuk dicapai antaranya untuk mendapatkan cadangan berhubung dengan pembangunan wakaf dari perspektif perundangan, mengumpul idea berhubung pendekatan terbaik pembangunan wakaf mengikut syarak dan mendapatkan pandangan serta cadangan mengenai program baru wakaf.

1 comment

    • Ustaz Amer on June 27, 2009 at 11:04 pm

    Laman ini sangat bermanfaat, tahniah di atas usaha anta.

Leave a Reply

Your email address will not be published.