Nov 10

Ekonomi wakaf – Bahagian ketiga

Lafaz akad wakaf

Sighah iaitu lafaz akad yang diucapkan oleh pewakaf ketika menyerahkan harta wakafnya kepada seseorang atau kepada pihak yang tertentu sebagai penerima harta wakaf.

1. Ta’bid (tidak ditentukan masa) : Maka tidak sah wakaf sementara pada pandangan jumhur ulama selain daripada Malikiah kerana wakaf itu mengeluarkan harta secara qarabah maka menyertai sighah itu dengan perkara yang menunjukkan sementara seperti katanya : aku wakafkan rumah ini setahun, sebulan dan seumpamanya. Maka wakaf itu batal. Sementara pendapat Malikiah pula mereka tidak mensyaratkan ta’bid oleh itu harus wakaf setahun, sebulan dan seumpamanya. Ini adalah kerana dengan tidak disyaratkan ta’bid membolehkan orang ramai berpeluang membuat kebajikan secara meluas.
2. Tanjiz ( terlaksana serta merta ) : Maka wakaf itu terlaksana dengan serta merta, oleh itu tidak sah wakaf ta’liq sama seperti jual beli pada pendapat jumur ulama’ selain maliki.

Lafaz sighah yang terang (langsung)

Lafaz sigah yang terang iaitu satu lafaz yang tidak bermaksud selain wakaf, iaitu perkataan yang boleh difahami oleh pendengarnya dengan maksud wakaf, tanpa memerlukan perkataan tambahan. Para ulama fiqh sepakat mengatakan lafaz sigah yang terang itu ada tiga lafaz iaitu :
1. Saya wakaf
2. Saya tahan
3. Saya sabilullahkan

Tetapi ketiga-tiga lafaz tersebut mestilah menyatakan jenis harta yang diwakafkan serta kepada siapa wakaf tersebut diberikan, seperti lafaz : “saya wakafkan atau saya sabilullahkan atau saya pegang tanah saya ini untuk si pulan (nama penerima wakaf) sebagai wakaf.

Menurut jumhur ulama, selain lafaz yang disebutkan diatas seperti “saya sedekahkan” hanya boleh dikategorikan sebagai lafaz wakaf yang terang (lafaz sorih) dengan dua syarat :

1) Jika pewakaf itu menyertakan niat wakaf di dalam hatinya ketika ia mengucapkan lafaz “aku sedekah”
2) Jika pewakaf itu menyertakan salah satu daripada lima lafaz-lafaz yang berikut dibawah untuk memperkuatkan pernyataan pewakaf dalam sighah yang diucapkan iaitu :

i. Sebagai sedekah yang diwakafkan
ii. Sebagai sedekah yang ditahan
iii. Sebagai sedekah yang disabilullahkan
iv. Sebagai sedekah yang dikekalkan
v. Sebagai sedekah yang diharamkan
Jika lafaz “aku sedekahkan” itu tidak memenuhi kedua-dua syarat yang tersebut di atas maka wakafnya tidak sah kerana ia membawa maksud yang sama antara wakaf dengan sedekah sunat yang biasa.

Lafaz kiasan (Tidak langsung)

Lafaz kiasan ialah lafaz yang tidak membawa maksud yang langsung kepada makna wakaf. Ia hanya sah jika disertakan dengan lafaz lain yang membawa maksud kepada pemberian wakaf, contoh-contoh lafaz yang tidak langsung itu ialah seperti lafaz-lafaz yang berikut :

i. Saya sedekahkan
ii. Saya kekalkan
iii. Saya haramkan

Semua lafaz diatas adalah lafaz kiasan yang boleh diguna pakai untuk lafaz wakaf yang maksudnya tidak begitu jelas kepada makna wakaf secara langsung. Merujuk kepada lafaz kiasan “saya sedekahkan” lafaz ini mestilah disandarkan dengan perkataan lain. Tempat tujuan wakaf itu hendaklah diberikan walaupun umum seperti kepada orang-orang fakir dengan contoh “saya sedekahkan harta saya ini kepada orang-orang fakir”. Bagi lafaz “saya haramkan” dan “saya kekalkan”, al-bujairimi dan al-ansari menjelaskan bahawa kedua-dua lafaz kiasan itu adalah dikhususkan untuk orang fakir kerana sesunguhnya kedua-dua lafaz itu tidak dipakai secara berasingan, bahkan kedua-dua lafaz tersebut saling kuat memperkuatkan antara satu sama lain.

Ibn Qudamah menjelaskan ketiga-tiga lafaz tersebut di atas dikenali sebagai lafaz kiasan kerana perkataan sedekah boleh membawa kepada makna zakat dan hibah. Perkataan haram boleh membawa kepada makna zihar dan sumpah. Perkataan kekal pula boleh membawa makna kekal haram dan kekal wakaf.

Leave a Reply

Your email address will not be published.