Nov 10

Ekonomi wakaf – Bahagian kelima

PERKEMBANGAN WAKAF

Wakaf secara umumnya telah berkembang sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Di sini, perkembangan wakaf dapat dikategorikan kepada empat topik utama iaitu merujuk kepada pembangunan harta wakaf, penulisan beserta tokohnya, Informasi dan penyebaran maklumat berkaitan wakaf.
1) Perkembangan dari aspek pembangunan harta dan konsep wakaf

1.1 Penggunaan konsep istibdal
Didapati bahawa pembangunan harta wakaf semakin rancak di Malaysia seiring dengan kepesatan kemajuan negara. Jabatan wakaf di setiap negeri semakin aktif dalam usaha memaju dan membangunkan harta wakaf supaya harta wakaf tersebut tidak mati tanpa dimajukan. Bukan sahaja dimajukan untuk mendapatkan keuntungan dan menjana ekonomi setempat, malah pembangunan harta-harta wakaf ini bertujuan mengelakkan Majlis Agama Islam di setiap negeri menanggung kerugian ekonomi dan menanggung kos-kos tetap seperti cukai tanah yang perlu dibayar setiap tahun. Di dapati penggunaan konsep istibdal semakin meluas demi memenuhi kemaslahatan yang wujud. Sebagai contoh, sebuah tanah kosong yang diwakafkan untuk dibina surau diatasnya sedangkan kedudukan tanah tersebut sangat ekonomik kerana berada di tengah-tengah dua kawasan perumahan dan lebih sesuai dibina pasaraya atau pun pusat membeli belah untuk kemudahan penduduk. Sedangkan tiap-tiap kawasan perumahan tersebut telah dilengkapi surau masing-masing. Maka tanah wakaf tersebut boleh diistibdal dan digantikan dengan membeli tanah yang lain yang sama nilainya atau lebih daripada nilainya. Penggunaan konsep istibdal semakin meluas menunjukkan ulama-ulama di Malaysia sudah terikat dengan satu-satu pandangan mazhab sahaja tetapi keputusan yang dibuat lebih merujuk kepada perkara yang lebih rasional dan untuk memenuhi tuntutan maslahah yang timbul.

1.2 Skim saham wakaf
Konsep wakaf juga telah diperkembangkan dengan wujudnya skim saham wakaf. Kewujudan saham wakaf membolehkan individu yang tidak berkemampuan mewakafkan harta berbentuk kekal dan membuka seluas-luasnya ruang untuk melakukan ibadah tersebut. Konsep ini banyak digunakan oleh badan-badan tertentu dalam usaha mengumpulkan dana sesuatu projek wakaf. Antara mereka yang sering mengamalkan konsep saham wakaf ini ialah YADIM  serta institusi lain yang banyak menggunakan konsep saham wakaf bagi menjayakan pembinaan asrama anak-anak yatim, pembinaan masjid dan sebagainya.

Pelaksanaan wakaf ini tidak lagi berlaku dalam bentuk konvensionalnya sahaja seperti melakukan wakaf dengan cara berjumpa imam atau pergi ke berjumpa pegawai agama sahaja. Dalam era masa kini, selain konsep saham wakaf yang telah diperkenalkan wakaf kini telah kembangkan melalui sistem perbankan internet. Orang ramai boleh melaksanakan ibadah ini dengan menyalurkan dana saham wakaf kepada institusi tertentu. Pada masa kini bukan Majlis Agama Sahaja yang bertindak sebagai pemegang amanah wakaf. Contoh terbaik yang boleh kita lihat adalah melalui projek wakaf yang dijalankan oleh sebuah pertubuhan kebajikan yang berpangkalan di United Kingdom iaitu kumpulan Islamic-relief. Mereka mengumpulkan dana wakaf dan menyalurkan kepada golongan sasaran di serata dunia melalui kaedah saham wakaf. Nilai saham wakaf yang mereka wujudkan adalah :

1. Amerika Syarikat = 1100 US Dollar
2. United Kingdom = 890 Pound Sterling
3. Eropah dan lain-lain = 1300 Euro
4. Malaysia = RM5340

Islamic-relief telah memperkenalkan konsep wakaf yang tidak dilakukan di negara kita. Konsep yang mereka lakukan memberi kemaslahatan kepada seluruh penduduk dunia yang berada dalam keadaan miskin dan memerlukan. Antara saham-saham wakaf yang mereka wujudkan akan disalurkan ke program :

1. Wakaf pendidikan
2. Wakaf air dan sanitasi
3. Wakaf Qurban
4. Wakaf bantuan kecemasan
5. Wakaf penjagaan kesihatan
6. Wakaf bergenerasi
7. Wakaf anak yatim

Jenis-jenis wakaf seperti ini amat asing bagi kita dan kita boleh memikirkan untuk melakukan perkara yang sama.

1. Wakaf Pendidikan
a) Pendidikan rendah (Primary Education) di Afghanistan
b) Pembaikpulihan sekolah (School Rehabilitation) di Kosovo
c) Pusat pendidikan (Education Centres) di Palestin
d) Pusat latihan masyarakat (Community Training Centres) di Albania
e) Projek pembasmian buta huruf (Adult Literacy) di Sudan
f) Pembinaan semula sekolah rendah (Primary School Reconstruction) di Bosnia
g) Pusat latihan graduan

2. Wakaf air dan sanitasi
a) Membina system bekalan ke kawasan yang mundur
b) Menggali, membaiki dan membina sumber air
c) Melaksanakan projek pembersihan dan penyucian
d) Bertanggung jawab untuk menjamin dan menyatukan program sanitasi

3. Wakaf korban
a) 21 tahun berpengalaman dalam projek wakaf korban
b) Bermula pada tahun 1986 dengan projek wakaf qurban sebanyak 670 biri-biri telah dikorbankan.
c) Pada tahun 2005, sebanyak 39000 ekor lembu dan biri-biri telah dikorbankan
d) Hasil korban tersebut telah diagihkan kepada 16 buah negara khususnya negara  miskin dan yang menghadapi masalah kebuluran untuk manfaat lebih satu juta penduduk.

4. Wakaf kesihatan
a) Program kesihatan ibu dan anak di Bangladesh dan Sudan
b) Penjagaan dan perubatan untuk orang kurang upaya di Bosnia
c) Program penjagaan kesihatan di Bosnia
d) Mencegah masalah buta (Prevention of Blindness) di Pakistan
e) Pembaik pulihan trauma dikalangan kanak-kanak mangsa perang di Palestin

5. Wakaf bantuan kecemasan
a) Bantuan kecemaan seperti gempa bumi, peperangan dan kemarau
b) Antara program bantuan kecemasan yang disediakan ialah makanan, perubatan, baju sejuk dan lain-lain.
c) Projek pembaikpulihan dan pembangunan ekonomi dan sosial
d) Telah dijayakan di Chechnya, Palestin, Afghanistan, Bangladesh, Bosnia, Pakistan, India, Ethopia dan El Salvador.

6. Wakaf bergenerasi
a) Khusus kepada keluarga miskin menggunakan konsep “creying self-reliance”
b) Membentuk sumber pendapatan bagi memenuhi keperluan asas hidup keluarga miskin
c) Memperkenal dan mempromosi ekonomi tempatan
d) Membangun kemahiran tempatan (Local skill and capacity building)
e) Memberi kesedaran dan motivasi untuk mereka terus berhadapan dengan kenyataan dan merupakan konflik kehidupan yang lalu bagi membina masa depan yang lebih baik.

7. Wakaf anak yatim
a) Khusus kepada kanak-kanak di Asia, Afrika dan Eropah yang kehilangan ibu-bapa akibat peperangan, Aids, bencana alam dan lain-lain.
b) Memberi motivasi dan kaunseling bagi menghilangkan trauma kepada anak yatim.
1.3 Pembangunan dan pengembangan harta wakaf melalui instrument sukuk
Perkembangan terkini yang berlaku ke atas harta wakaf adalah pembangunan dan pengembangan harta wakaf melalui instrument sukuk iaitu merupakan satu kaedah pensekuritian harta wakaf. Bebarapa jenis sukuk yang boleh digunakan ialah sukuk Bai’ bithaman ajil/Murabahah, sukuk Ijarah, sukuk istisna’, sukuk Musyarakah, dan sukuk Mudharabah.

Perbincangan sebelum ini adalah menjurus kepada pembangunan harta wakaf yang telah sedia ada. Perkara yang perlu difikirkan secara serius juga ialah mewujudkan harta wakaf yang baru dengan menggunakan instrumen sukuk. Oleh kerana sukuk sifatnya sebagai bukti pemegangnya terlibat dalam pembiayaan sesuatu projek atau aktiviti ekonomi semada secara musyarakah, ijarah dan lain-lain, maka dirasakan perkara ini boleh dilaksanakan dalam konteks mewujudkan harta wakaf. Ini bermakna pemegang sukuk boleh mewakafkan apa yang telah disumbangkannya bagi membeli dan membangunkan harta wakaf baru yang mempunyai nilai komersil yang tinggi. Perolehan dari projek ini boleh digunakan untuk kemaslahatan perkembangan ekonomi umat Islam dalam pelbagai bidang.

Oleh kerana wakaf adalah kebenaran untuk menggunakan manfaat harta, dengan sebab itu terdapat pandangan di kalangan Mazhab Syafi’i  dan riwayat dari Abu Yusof  yang membenarkan wakaf dalam tempoh tertentu, seperti mewakafkan bangunan untuk tempoh dua tahun dan selepas itu dikembalikan kepada pemilik harta itu semula.Timbul persoalan di sini samada harta dalam bentuk wang ringgit boleh diwakafkan atau tidak. Perkara ini menjadi perdebatan pandangan di kalangan fuqaha’. Walau bagaimanapun terdapat di kalangan fuqaha’ Mazhab Maliki membenarkannya.Begitu juga Zufar dan al-Ansari daripada kalangan Mazhab Hanafi, dan satu riwayat dari Imam Ahmad dan Ibn Taimiyah dari kalangan Mazhab Hanbali.Ini kerana bagi mereka wakaf boleh dilakukan terhadap apa sahaja harta yang harus dimanfaatkan dalam keadaan zatnya dikekalkan atau digantikan zatnya.

Justeru wang tunai boleh dijadikan harta wakaf kerana manfaat wang dapat digunakan dengan zatnya digantikan. Ini bermakna berasaskan pandangan ini jika wang dikumpulkan untuk digunakan mendapatkan suatu harta tetap yang bakal menjadi harta wakaf sudah pasti tidak lagi menjadi suatu yang dibahaskan lagi.Dengan kata lain jika dapat distrukturkan sukuk untuk menyalurkan modal wang bagi memajukan suatu aset, yang kemudiannya menjadi harta wakaf, sudah pasti ia menjadi suatu yang selaras dengan pandangan fuqaha’ silam.

1.3.1 Cadangan bentuk wakaf
Terdapat dua cara untuk mewujudkan harta wakaf baru dengan menggunakan sukuk seperti berikut:

i. Mewakafkan sukuk sepenuhnya
Berdasaskan struktur yang dipilih mengikut kesesuaian harta dan risiko pentadbir wakaf boleh menerbitkan sukuk untuk diwakafkan, dan diamanahkan kepada pentabir wakaf untuk menguruskannya. Ini bermakna setelah sukuk diterbitkan pewakaf akan menyerahkan kepada pentadbir wakaf untuk menjual sukuk di pasaran kedua. Perolehan aktiviti sewa dari harta wakaf yang telah dibangunkan akan dimasukkan ke dalam tabung wakaf kebangsaan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam.Wakaf ini mestilah bersifat wakaf am untuk kebajikan menyeluruh umat Islam.

ii. Mewakafkan keuntungan sahaja dan modal dikembalikan
Dalam konteks ini apabila sesuatu projek telah siap untuk tempoh tertentu pemegang sukuk akan mendapat semula modalnya dimana pewakaf mewakafkan keuntungan projek untuk satu dana tabung wakaf kebangsaan. Aset tetap yang dibina juga adalah menjadi harta wakaf. Cara ini lebih baik kerana pemegang sukuk dapat membiayai projekprojek
berdaya maju dengan lebih banyak lagi dengan modal yang sama.

Pada masa kini telah wujud usaha membangunkan harta wakaf menggunakan kaedah sukuk. Kesannya amat membanggakan dan pada masa yang sama dapat mewujudkan alat kewangan Islam bagi tujuan pelaburan dan pasaran sukuk.Usaha tersebut adalah sebagaimana yang dijalankan di Arab Saudi. Di Arab Saudi, sukuk yang digunakan ialah sukuk intifa’ dimana ia bertujuan untuk mendapatkan dana daripada pelabur bagi tujuan membiayai projek untuk membina sebuah apartmen serba moden di atas tanah wakaf berhampiran Masjidil Haram, Mekah. Sukuk al-intifa‘ ialah merupakan satu sijil atau perjanjian (deed) sebagai bukti hak ke atas sesuatu yang diiktiraf dari segi perundangan. Ia memberikan hak kepada pemegang sijil untuk menggunakan unit-unit tertentu pangsapuri untuk tempoh tertentu dalam masa setahun bagi beberapa tahun yang ditentukan. Hak ini dimiliki sepenuhnya oleh pemegang sukuk dan ia boleh samada dijual, dipinjam, diwarisi atau disimpan sebagai perlaburan. Penerbitan sukuk ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelabur sehingga mencecah lebihan langganan sebanyak 135 peratus.

1.4 Peranan Takaful Dalam Penjanaan Wakaf Tunai Sebagai Produk Baru Wakaf

Wakaf tunai atau juga disebut sebagai wakaf wang atau cash wakaf atau wakaf an-nuqud telah perbahaskan dalam sistem kewangan Islam moden. Malah ianya juga dibincangkan sejak zaman imam mujtahid lagi dan sebahagian ulama Hanafiyyah telah mengharuskan wakaf tunai. Ibn ‘Abidin pula berpandangan bahawa wakaf tunai adalah sah meskipun fizikalnya tidak dapat dikekalkan dalam bentuknya yang asal namun ianya boleh ditukarkan kepada bentuk yang lain (yang bersifat kekal). Malah ada diriwayatkan oleh Muhammad, iaitu anak lelaki kepada Abdullah al-Ansari di mana beliau berpandangan bahawa wang boleh diwakafkan dengan melaburkannya ke dalam mana-mana bentuk perniagaan atau pelaburan. Hasilnya akan disedekahkah (diwakafkan)

Takaful Malaysia telah menawarkan suatu produk takaful yang boleh menyediakan kemudahan kepada masyarakat khususnya pesertapeserta takaful mengatur perancangan kewangan mereka supaya sumbangan derma melalui kaedah waqaf boleh mereka laksanakan untuk manfaat manamana pihak yang memerlukan bantuan kewangan tersebut.Melalui produk yang berupa projek tabungan dan pelaburan jangka panjang peserta boleh mewaqafkan apa-apa perolehan manfaat yang akan dibayar oleh Takaful Malaysia samada disebabkan oleh kematian atau genap tempoh matang atau manfaat serahan kepada pihak-pihak yang menerima waqaf yang dipilih oleh peserta. Dengan kata lain, peserta melepaskan haknya ke atas apa-apa perolehan manfaat di bawah produk ini kepada mana-mana institusi yang dinamakannya. Melalui produk wakaf ini, apabila kematian menimpa peserta, perolehan manfaat yang akan dibayar bersabit daripada kematian itu akan diwaqafkan oleh peserta dan tidak dibayar kepada warisnya.

Operasi produk ini ialah di mana setiap caruman takaful yang dibayar akan dikreditkan ke dalam Kumpulanwang Takaful Keluarga. Kemudian wang caruman akan dibahagikan dua untuk dimasukkan ke dalam Akaun Peserta (AP) dan Akaun Khas Peserta (AKP). Pecahan untuk AKP adalah dibuat secara tabarru’. Atas hakikat inilah produk ini mempunyai kelebihan daripada segi amaun wakaf berbanding kemudahan wakaf yang lain. Amaun yang akan diwakaf adalah lebih besar berbanding wang caruman asal peserta. Sumber pertama ialah bahagian keuntungan yang akan dikreditkan ke dalam AP berasaskan prinsip mudharabah. Sumber kedua pula perolehan yang akan dibayar daripada AKP yang menyerupai bayaran khairat kematian yang akan dikeluarkan jika ditakdirkan peserta meninggal dunia sebelum genap tempoh penyertaan. Sumber ketiga adalah daripada lebihan/keuntungan aset ke atas liabiliti AKP mengikut penilaian aktuari yang dibuat secara tahunan dan dibayar apabila tempoh penyertaan matang. Dengan perakuan waqaf, peserta tidak lagi mempunyai apa-apa hak ke atas perolehan manfaat yang akan dibayar samada peserta terbabit meninggal dunia sebelum genap tempoh matang, atau perolehan semasa matang atau perolehan serahan kerana peserta menamatkan penyertaan sebelum cukup tempoh matang. Semua jenis perolehan manfaat ini akan dibayar terus oleh Takaful Malaysia kepada institusi yang dinamakan peserta untuk menerima wakafnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.