Nov 10

Ekonomi wakaf – Bahagian keempat

SEJARAH PERKEMBANGAN DAN PERUNDANGAN WAKAF

Masyarakat sebelum islam seperti di Mesopotamia, Greek, Rom dan juga masyarakat jahiliyyah sebelum kedatangan islam sudah pun mengamalkan sumbangan yang bertujuan kebajikan. Rasulullah telah menganjurkan kepada para sahabatnya untuk membeli sebuah telaga untuk diwakafkan kepada orang-orang Madinah. Saidina Uthman telah membeli telaga tersebut dan kemudiannya diwakafkan untuk kegunaan umum. Peristiwa ini adalah asas kepada pelaksanaan wakaf am di mana wakaf ini tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Amalan berwakaf sama ada wakaf am atau wakaf khas telah berkembang dalam sejarah dan perundangan islam.

Ia dapat dibuktikan melalui hakim-hakim di zaman Abbasiyyah telah terlibat secara langsung dengan pentadbiran wakaf dan ramai hakim telah dipecat kerana isu berkaitan wakaf. Sejarah juga menunjukkan bahawa bukan orang awam sahaja melakukan wakaf tetapi juga pemerintah dan keluarga di raja. Permaisuri Zubaidah, isteri kepada Khalifah Harun al-Rasyid dikatakan telah mewakafkan segala hartanya untuk menyediakan jalan yang selamat dan mudah untuk tujuan perjalanan menunaikan haji dari Baghdad ke Mekah. Tanah wakaf di zaman Uthmaniyyah pula sangat luas. Tiga perempat daripada tanah kerajaan uthmaniyyah adalah tanah wakaf dan amalan ini juga berlaku di negara-negara lain.

Berhubung dengan perundangan wakaf, pada zaman awal dan pertengan islam tiada satu kumpulan undang-undang yang disusun untuk mengawal pentadbiran harta wakaf sama ada untuk tujuan pendaftaran, pengagihan faedah, penyelesaian kes-kes mahkamah berhubung harta wakaf dan seumpamanya. Namun, sejarah perundangan islam telah memberikan fokus yang khas kepada harta wakaf berbanding harta-harta lain. Ini dapat dilihat apabila pentadbiran harta wakaf selalunya diletakkan dibawah bidang kuasa dan penyeliaan mahkamah. Setiap hakim di pelosok tanah islam telah diberikan kuasa dan tanggung jawab memeriksa rekod dan kedudukan tanah wakaf.

Pada zaman Abbasiyyah dan selepas kejatuhannya, pentadbiran wakaf yang diamalkan adalah hak pengurusan harta wakaf dijalankan oleh pemegang amanah yang dilantik oleh waqif dan kalau tidak dilantik oleh sebab-sebab tertentu, hakim daerah akan membuat perlantikan untuk tujuan tersebut. Tugas hakim dan mahkamah hanyalah untuk membuat pemeriksaan ke atas harta wakaf. Selepas zaman tersebut, timbul pendekatan baru kearah penyatuan pentadbiran wakaf di peringkat pusat. Cubaan pertama telah dibuat pada oleh khalifah Mu’izz daripada kerajaan Fatimiyyah di Mesir untuk meletakkan segala urusan pengurusan, pentadbiran dan pemeriksaan harta wakaf di bawah bidangkuasa bayt al-mal pusat. Banyak sebab pendekatan tersebut digunakan. Antaranya ialah faktor politik iaitu pihak sultan ingin melemahkan kekuatan pihak daerah dari segi ekonomi. Sehubungan itu, kekuatan pihak daearah menjadi lemah dan tidak berkemampuan menjalankan penentangan kepada kerajaan pusat. Pemusatan juga disebabkan oleh faktor-faktor lain dan pendekatan ini tidak berjaya dan telah dihapuskan oleh Salehuddin al-Ayyubi.

Pemusatan pentadbiran wakaf di Turki merupakan proses yang paling berkesan untuk menghapuskan institusi wakaf. Proses berwakaf menjadi rumit dan keadaan semakin parah apabila Turki diperintah oleh Kamal Atartuk. Ramai calon-calon untuk parlimen telah menjadikan agenda penghapusan institusi wakaf sebagai manifesto utama masing-masing. Niat utama parti pemerintah pada masa itu iaitu Parti Rakyat adalah untuk mendapat kekayaan cepat melalui penjualan harta wakaf.  Pada tahun 1937, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji penghapusan institusi wakaf di Turki dan kesannya harta-harta wakaf telah diistibdal dan segala wakaf tunai ditukar dalam bentuk saham-saham bank pada 1967 dan perkembangan ini sama sekali memansuhkan institusi wakaf di Turki.

PENTADBIRAN HARTA WAKAF DI MALAYSIA

Harta wakaf di Malaysia diurus dan ditadbir oleh Majlis Agama Islam setiap negeri. Pengurusan dan pendekatan yang digunakan oleh negeri-negeri dalam menguruskan harta wakaf mungkin berbeza antara satu sama lain contohnya bentuk organisasi dan pelaksana adalah berbeza. Contoh berikut adalah berdasarkan pentadbiran harta wakaf di negeri Kelantan :

Harta-harta wakaf ini ditadbir bersama oleh unit baitulmal dan wakaf yang terdiri daripada seorang pegawai yang dibantu oleh dua orang pembantu tadbir dan seorang kerani.Pegawai bertugas untuk mengesan harta-harta wakaf daripada waris-waris berkenaan dan menentukan pembayaran cukai tanah, cukai taksiran, pungutan sewa, dan pajakan tanah serta gudang baitulmal dan wakaf MAIK. Selain itu pegawai berkenaan juga bertanggung jawab untuk membuat kajian tentang kenaikan atau penurunan sewa bagi kesemua premis atau gudang wakaf.

Pembantu tadbir 1 bertanggung jawab untuk menyediakan daftar berkaitan senarai tanah-tanah wakaf dan baitulmal serta agihan pendapatan dan pembayaran keatas harta wakaf Tengku Kaya Pahlawan serta menjaga rekod-rekod waris yang berkepentingan. Selain itu, turut bertugas untuk menyediakan penyata tentang perolehan tanah wakaf dan baitulmal dan draf penyata audit, wakaf am dank has serta pemberian tanah wakaf baru oleh MAIK. Disamping itu, pembantu tadbir 1 juga akan mengemaskini semua maklumat berkaitan dengan bank tanah.

Pembantu tadbir II memainkan peranan dalam menjaga semua fail, rekod penempatan penyewaan tanah baitulmal, tanah wakaf am dan khas, memungut segala bayaran sewaan ke atas semua tanah kelolaan MAIK dan menyediakan penyata sewaan, tunggakan sewaan disamping melakukan tugasan-tugasan lain mengikut arahan pegawai atasan dari semasa ke semasa.

Kerani sewa pula menguruskan sewaan gudang dan premis wakaf, mengenal pasti mana-mana penyewa yang melanggar sewaan premis dan memfailkan kes di mahkamah. Selain itu kerani juga bertanggung jawab untuk memberi tawaran sewa, membuat kajian tentang kenaikan atau penurunan sewa dan menyediakan penyata audit atau akaun bagi unit baitulmal dan wakaf.

Berdasarkan kepada bahagian wakaf Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang pula, objektif penubuhan bahagian wakaf adalah :

1. Memelihara kebajikan , kedudukan, dan ekonomi masyarakat islam Pulau Pinang melalui pembangunan tanah-tanah wakaf.
2. Mematikan harta wakaf ditadbir dengan baik supaya masyarakat islam mendapat faedah dari harta wakaf.

Sementara itu, fungsi bahagian wakaf adalah :

1. Menyelenggara dan mentadbir harta wakaf dengan baik selaras dengan Majlis Agama Islam sebagai pemegang amanah kesemua harta wakaf
2. Mengumpul maklumat dan data-data berkenaan harta-harta wakaf.
3. Mengenalpasti tanah wakaf yang belum didaftarkan dan mendaftar serta meletak hak tanah-tanah yang telah disahkan sebagai wakaf di bawah nama MAINPP
4. Mewujudkan inventori tanah-tanah wakaf seluruh Negeri Pulau Pinang

Menyelaras dan mengawal pengurusan pentadbiran dan akaun-akaunwakaf serta menyelenggara dan mengawal penguatkuasaan hartanah wakaf.

5 comments

Skip to comment form

    • sabar on February 4, 2009 at 2:11 pm

    ceritakan sejarah pengurusan harta di zaman rasulullah dan para sahabat pula…..

    • wan fazliana izura on May 20, 2012 at 11:00 am

    salam…. how zakat and tax treatment on waqf..

    • aishah on November 4, 2012 at 9:49 pm

    salam ustaz.

    Boleh x ustaz cerita kan secara detail tentang pentadbiran dan pengurusan wakaf di kelantan, jenis-jenis wakaf dan badan2 kerajaan dan swasta yang terlibat dalam wakaf di kelantan.
    minta juga ustaz ceritakan sepenuhnya ttg tanah wakaf sultan mansor dan tengku kaya pahlawan.

    sy harap sgt ustaz dpt ceritakan untuk tujuan tesis master sy ttg wakaf di kelantan.

    • Zairina on November 9, 2012 at 1:58 pm

    Assalamualaikum ustaz.

    Kini saya sedang belajar mengenai undang-undang perbankan dan kewangan Islam. Kebanyakan konsep takaful di Malaysia adalah berasaskan konsep wakalah dan mudharabah. saya ingin bertanya, bagaimana pula dengan pemakaian konsep wakaf didalam takaful? Apakah kelebihan menggunakan model wakaf di dalam takaful ?
    Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published.