Oct 22

Swishcash dan hati yang mati

Pagi ini selepas sesi pembacaan al-quran, hadis, dan doa pagi, Abang Amir menegur saya. “Ustaz, nampak letih je?”.. saya pun membalas “kalau nak kata letih, hari-hari pun letih..” begitulah, saya rasa ramai orang perasan muka saya ni muka orang letih. Hakikatnya memang letih pun. Tapi apa nak buat. Kenalah laksanakan tugas yang diamanahkan. Pagi semalam, dalam keadaan kelam kabut membuat persiapan mesyuarat Badan Penasihat Syariah sempat saya surf internet dan terjumpa dengan laman web http://silapbesar.com/blog/index.php/2006/04/11/crmbank-gone-swisscash-next/ yang membicarakan tentang swisscash. Ramai pengunjungnya dan banyak pula komen dalam web tersebut sehingga saya tidak larat untuk membacanya. Apa yang menariknya dalam banyak-banyak komen tu ada yang memberi nasihat dan lebih banyak pula yang beria-ria menggalakkan dan memberi semangat serta galakkan yang kuat untuk melabur dalam Swisscash. Dan kini apabila Swisscash telah diharamkan maka meloponglah mereka.Mungkin sudah lewat bagi saya mengupas isu swisswash ini kerana umum mengetahui swisscash telah pun diharamkan. Namun saya merasa terpanggil untuk memberi komen tentang swisscash ini kerana saya cukup-cukup sedih melihat gelagat mereka yang ingin cepat kaya ini. Saya menulis komen ini bukanlah saya mempunyai apa-apa kepentingan. Saya tidak ada apa-apa keuntungan pun. Tapi saya rasa sedih dengan sikap golongan yang ingin cepat kaya ini kerana menolak pandangan orang-orang yang memberikan nasihat tentang pelaburan ini. Kalau ikutkan hendak saja saya quote kata-kata mereka mengenai orang yang memberikan nasihat. Tapi kata-kata menghina orang yang memberi nasihat itu saya malas nak masukkan kerana terlalu banyak. Anda bolehlah layari laman web tersebut. Walaupun individu berautoriti iaitu Ustaz Zaharudin telah mengemukakan pandangannya, tetapi ramai sahaja yang tidak menerimanya.

Selain Swisscash banyak lagi skim cepat kaya di internet. Itu tidak dapat dinafikan. Mungkin masih aktif kerana Bank Negara Malayasia (BNM) belum dapat trace lagi.Tunggulah masanya nanti. Bagi mereka yang suka melabur, tidak salah anda melabur dan tidak salah jika anda kaya. Menurut Mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim “Lebih baik kamu meninggalkan anak-anak(keluarga kamu) dalam keadaan kaya daripada keadaan miskin dan meminta-minta” bermaksud Allah menyuruh kita berusaha untuk maju dalam ekonomi atau pun kaya. Dalam surah al-ra’d ayat 11 juga Allah menyatakan “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan mereka yang mengubahnya” membawa pengertian Allah menggalakkan kita sebagai hambanya berusaha untuk maju supaya menikmati kesenangan hidup di dunia dan akhirat. Maka tidak salah untuk anda menjadi kaya.

Saya di sini ingin menasihatkan kepada para pelabur bahawa Islam tidak melarang kita untuk melabur dan tidak melarang kita untuk kaya. Islam itu indah, Islam itu sempurna. Islam menggalakkan kita berniaga dan melabur kerana dari aspek ekonomi setiap pelaburan yang dilakukan akan dapat mengelakkan masalah kebocoran dalam ekonomi seterusnya menjadi pengganda dalam ekonomi. Islam juga menggalakkan pelaburan kerana apabila kita melabur dan mendapat pulangan yang banyak Islam telah menetapkan kita wajib membayar zakat 2.5% sahaja setahun. Dengan nilai yang sedikit ini mampu untuk menjana ekonomi negara. Jumlah 2.5% yang anda agihkan melalui zakat akan dapat meningkatkan pendapatan orang miskin. Sebagaimana yang kita sedia maklum, permintaan terhadap barang-barang pengguna adalah tinggi dikalangan orang miskin. Situasi ini sudah pastinya membawa kepada pertambahan permintaan dan penawaran barangan yang seterusnya akan membawa iklim ekonomi yang baik.Kesimpulannya Islam menggalakkan pelaburan.

Apa yang berlaku hari ini ramai orang berlumba-lumba untuk menjadi orang kaya tanpa mengambil kira guideline yang ditetapkan dalam Islam. Tidak kira swisscash atau apa-apa skim sekalipun hendaklah kita sebagai pelabur muslim mengambil kira soal halal dan haram. Ini kerana soal halal dan haram bukan hanya pada makanan sahaja. Bukan pada anjing dan babi sahaja. Sesetengah pihak pula cuba membandingkan situasai swisscash dengan memakan rasuah kerana menurut mereka di Malaysia ini ramai saja orang yang makan rasuah. kenapa tidak dibendung?. Sepatutnya tidak perlu untuk dilakukan perbandingan kerana kedua-dua adalah masalah yang berbeza. Memakan rasuah hukumnya sudah tentu haram. Tetapi bagi kita yang sudah diberi peringatan sepatutnya menjauhkan diri daripada mendapat pendapatan yang tidak halal. Bukannya mempersoalkan perkara lain dan cuba mengaburi pandangan orang lain dengan isu yang tiada kaitan.

Seterusnya ada yang mengatakan bahawa orang yang memberi nasihat itu dengki melihat orang Melayu maju. Juga dengki melihat orang lain kaya. Cuba menghalang orang melayu jadi jutawan, menghalang ekonomi orang melayu dan bermcam-macam lagi kata-kata yang penuh emosi untuk mempertahankan apa yang dilakukakannya. Orang seperti ini seolah-oleh berkata tanpa berfikir dan tanpa pedoman. Telah dinyatakan di atas Islam menggalakkan pelaburan tetapi kita perlu ikut guideline. Bukan sahaja guideline dalam Islam tetapi juga guidelines and regulation dari Bank Negara. Jika dilihat dari segi ekonomi, memang benar pendapat mengatakan bahawa keuntungan besar yang di bawa masuk ke dalam negara akan meningkatkan KDNK negara. Tetapi golongan ini tidak fikir bahawa lebih banyak lagi wang yang keluar negara memandangkan yang mendapat pulangan daripada pelaburan hanyalah segelintir sahaja. Orang-orang yang tidak dapat pulangan bagaiman? Bukan ke wang yang mengalir keluar negara lebih banyak? dengan nilai currency mata wang yang kecil berbanding mata wang dollar dan lain-lain matawang sudah pasti wang yang mengalir keluar adalah lebih tinggi.

Kesan jangka panjangnya pula sekiranya semua orang yang berduit semakin kaya melalui skim-skim ini bagaimana pula nasib orang-orang yang miskin? adakah orang-orang yang sudah jadi jutawan ini mahu membina welfare house atau menyara orang miskin? Kalau ada pun tidak semua. Bagaimana pula golongan miskin ini hendak hidup dalam keadaan barangan keperluan menjadi semakin mahal akibat daripada inflasi yang dicetuskan oleh corak perbelanjaan golongan kaya? pernahkah kita terfikir?

Penulisan ini saya tujukan khas buat saudara seislam saya. Terpulang kepada anda untuk menilainya. Umat-umat terdahulu telah ditimpakan dengan azab akibat daripada mereka tidak mahu mendengar nasihat dan peringatan. Dan mereka adalah golongan yang rugi.Sudah ada banyak penulisan tentang pelaburan menurut Islam, soal riba, gharar, maisir dan lain-lain lagi. Saya menasihatkan supaya anda baca dan memahami perkara-perkara tersebut sebelum melabur. Ingatlah setiap apa yang kita makan akan memberi kesan kepada hati dan kehidupan kita sama ada di dunia dan akhirat. Orang-orang yang marah dan tidak mahu mendengar nasihat saya yakin bahawa anda sememangnya memakan hasil yang tidak baik selama ini sehingga hati anda menjadi keras untuk mendengar nasihat. Apa yang anda boleh buat, beristighfarlah banyak-banyak dan bacalah surah al-hadid banyak-banyak untuk melembutkan hati anda. Saya yakin dan percaya anda akan jumpa bentuk pelaburan yang terbaik nanti. Wallahu a’alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.