Sep 26

Sedekah yang ikhlas diberi ganjaran

Saat ini saya baru sahaja selesai solat sunat terawih. Tiba-tiba saya teringat peristiwa-peristiwa dalam 2, 3 hari ni. Bukan nak tunjuk diri ini baik tetapi eloklah perkara yang baik kita kongsikan bersama. Peristiwa yang berlaku ini betul-betul memberi pengajaran kepada saya. Perkara ini bukanlah pertama kali terjadi kepada saya tetapi sudah banyak kali. Memang benar apa yang dikata oleh ulama dan guru-guru bahawa sedekah yang dilakukan dengan ikhlas akan di balas dengan cepat oleh Allah Taala.

Selain balasan berbentuk material atau wang yang kita perolehi, kita juga akan mendapat kepuasan apabila dapat membantu orang yang memerlukan. Alhamdulillah, akibat daripada perkara baik yang saya lakukan semalam membuatkan hari ini saya senang untuk bersedekah kepada orang-orang buta di perkarangan masjid negara selepas solat jumaat.

Baru-baru ini saya mengalami sedikit masalah kewangan, saya kena bagi duit pada orang tua saya dan lain-lain lagi. Ditambah pula masalah bil internet maxis broadband yang tertangguh beberapa bulan. Walaupun tak pakai tetap kena bayar. Melampau juga maxis ni. Fikiran saya pun agak kusut waktu tu. Alhamdulillah tak lama lepas tu gaji pun masuk.

Pihak persatuan di tempat kerja mengadakan kutipan sempena Ramadhan. Saya pun sumbangkan RM10. Esoknya majlis berbuka puasa dan saya sebagai ustaz bertanggung jawab untuk lead majlis khatam al-Quran dan menjadi imam terawih. Nak dijadikan cerita saya diberi RM100 sebab jadi imam terawih. Alhamdulillah…. itulah, nak menunjukkan bahawa sumbangan sedekah yang kecil Allah akan gandakan lagi ganjarannya.

Pada masa yang sama juga, saya beri RM300 kepada orang tua saya sebagai belanja mereka di kampung, Allah telah ganti sebahagian daripada jumlah itu iaitu sebanyak RM150 apabila salah seorang kenalan saya meminta saya designkan logo syarikat dan business card syarikat dia. Alhamdulillah

Dari segi kepuasan membantu orang pula, sewaktu kutipan sumbangan derma di pejabat saya telah propose nama seorang ibu tunggal yang menyara seorang anak lelaki yang kini menuntut di UTM Jalan Semarak KL. Beliau tiada pendapatan tetap dan menghidapi penyakit buah pinggang dan kanser fibroid. Kesian dia. Alhamdulillah dia layak menerima sumbangan daripada syarikat saya sebanyak RM150 (kalau tak silap). Dan baru sebentar tadi saya berkesempatan bertemu dengan ibu tunggal tersebut dan menyerahkan wang sumbangan. Melihat keadaannya yang tidak mampu berjalan dan bengkak kaki akibat kencing manis saya rasa kasihan sangat. Andai kata dia ibu saya bagaimana lah perasaan saya ketika itu. Sekarang ini hajat saya untuk membantunya telah tercapai. Selain berasa tenang saya juga berasa puas sangat.

Mudah-mudahan kisah saya ini menjadi pendorong dan motivasi kepada pembaca semua supaya selepas ini lebih suka untuk bersedekah. Yakinlah bahawa Allah akan membalas setiap kebaikan yang kita lakukan. Wallahu a’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published.