Riba dalam Kontrak Insurans dan Kesannya

Hari ini saya tidak ada kerja di pejabat. Jadi saya pun meluangkan masa saya untuk membaca buku dan membaca artikel. Hasilnya saya telah ekstrak perkara yang saya baca ke dalam blog ini. Pada kali ini saya inigin mengupas tentang “Riba dalam Kontrak Insurans dan Kesannya”.Bagi orang awam yang tidak mengetahui tentang asas kontrak insurans konvensional ingin saya maklumkan bahawa kontrak yang digunakan antara pembeli insurans dan syarikat insurans adalah kontrak jual beli (Sell & buy). Maka barang perantaraan yang digunakan adalah wang.

Sebelum kewujudan wang, pertukaran lazimnya menggunakan emas dan perak. Wang disamakan dengan emas dan perak kerana wang pada masa kini dijadikan sebagai alat pertukaran. Penukaran emas dan perak dalam Islam disyaratkan supaya sama pada kadarnya dan penyerahan dilakukan serta merta (Tiada penangguhan waktu penyerahan). Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah ibn al-Samit r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud”

“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam, (ditukarkan) sesame sendiri, pada kadar yang sama, secara tunai, apabila barangan berkenaan yang berbeza ditukar, maka jual belilah sesuka hatimu selama mana ia adalah pertukaran tunai.”

Hadis di atas menyebut tentang enam barang yang ditukarkan sesama sendiri atau dengan yang lain. Barang-barang di atas dinamakan sebagai barangan ribawi.

Waktu bila menjadi riba?

Riba dalam kontrak insurans konvensional ini dapat dilihat daripada beberapa situasi. Pertama, premium yang dibayar ketika ini akan hanya mendapat pulangan dalam bentuk pampasan apabila berlaku musibah kepada pembeli insurans yang tidak diketahui bila waktu berlakunya. Jarak di antara tempoh penyerahan tersebut menjadikannya riba kerana tidak menepati syarat penyerahan sepertimana yang dinyatakan di atas.

Kedua, ia menjadi riba apabila jumlah wang yang bertukar tangan di antara pembeli insurans dan syarikat insurans berbeza. Cuba kita bayangkan Ahmad memberikan Ali RM10 dan Ali memberikanAhmad RM100. Nilai pertukaran yang berbeza ini menyebabkan riba. Contoh bagi insurans hayat, nilai wang pampasan biasanya adalah lebih besar daripada premium yang dibayar oleh pemberi insurans apabila berlakunya kematian terutama diperingkat awal tempoh polisi. Maka nilai pertukaran yang tidak sama itu merupakan riba.

Ketiga, pembeli insurans dibenarkan untuk meminjam premium yang dibayarnya. Kemudian perlu membayar semula (topup)dengan kadar faedah dikenakan. Pengenaan kadar faedah secara jelas menunjukkan wujudnya riba. Begitu juga pembeli insurans dibolehkan untuk membuat pinjaman dengan mencagarkan polisi insuransnya. Jumlah pinjaman adalah bergantung kepada nilai pampasan (sum covered) polisi tersebut. kadar faedah (interest) bagi pinjaman tersebut ditetapkan oleh syarikat insurans pada kadar tertentu.

Keempat, wujudnya riba apabila wang premium yang dilaburkan tidak menepati hukum syarak. Wang yang dilaburkan ke tempat-tempat yang dilarang oleh Islam seperti melaburkan ke tempat-tempat perjudian , perbankan konvensional, kilang arak dan lain-lain yang bertentangan dengan syarak.

Maka jelaslah di sini perjalanan operasi syarikat insurans ini tidak selari dengan syarak yang mana Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Syarikat insurans mengamalkan riba dan hukum menyertai sesuatu yang haram adalah haram dan hasil yang diperoleh juga haram.

Wallahua’lam.

One Comment

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *